Saiz Teks: A A A

Pakatan sekali lagi alukan debat Anwar-Najib

(Oleh: Sidiqin Omar)

 

PETALING JAYA 6 Mac: Pakatan Rakyat sekali lagi mengalukan cabaran debat antara Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, berhubung pelbagai isu melibatkan soal ekonomi dan masa depan negara ini.

Mengulas mengenai pengumuman Najib bahawa beliau hanya akan berdebat dengan pemimpin yang mempunyai ‘pemikiran munasabah’, Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli, mempersoalkan syarat tersebut.

“Siapa yang tidak munasabah? Lainlah kalau orang yang mahu berdebat itu ada sijil mengesahkan yang dirinya ‘tidak munasabah,” kata Rafizi pada sidang media Jawatankuasa Polisi Pakatan Rakyat di pejabat Sekretariatnya di Petaling Jaya, petang ini.

Beliau ditanya pemberita berhubung perkembangan cabaran debat antara Najib dan Anwar ekoran pengumuman perdana menteri yang disiarkan di blognya, semalam.

Bagaimanapun, pengumuman Najib yang menyatakan kesediaan berdebat  itu kemudian ditukar kepada ‘perbincangan’.

“Tak kisah. Sama ada hendak panggil itu sebagai bincang, atau mesyuarat, atau bertemu, atau berdebat. Kami alu-alukan,” tegasnya sambil menambah, isu ekonomi dan pendapatan rakyat akan menjadi isu utama jika debat tersebut direalisasikan.

“Macam kumpulan tabligh -  Nak berusrah pun boleh,” seloroh Rafizi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong memaklumkan satu Forum anjuran  Research for Social Advancement (Refsa) diadakan di Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor (KLSCAH) esok.

“Kita telah mengundang Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (Pemandu ) NKRA Datuk Seri Idris Jala.

“Tapi dia beralasan tidak dapat hadir atas urusan-urusan lain,” kata Chin Tong memberitahu surat pelawaan telah dihantar pada 22 Februari lalu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27877

Posted by on Mar 6 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry