Pakatan yakin menang 16 kerusi Parlimen di Sarawak – Baru Bian

(Oleh Aisha Geoffrey)

KUCHING 13 APRIL: Pakatan Rakyat yakin akan memenangi 16 kerusi Parlimen di Sarawak pada Pilihan Raya Umum ke-13 bagi menumbangkan jajahan Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud selama 32 tahun.

Pengerusi KEADILAN Sarawak, Baru Bian percaya, dengan sumbangan kerusi di negeri itu boleh membantu Pakatan ke Putrajaya.

baru“Mengikut mandat, kita (Pakatan) perlu menang 10 kerusi, tetapi menerusi maklumat dari bandar dan luar bandar, kita yakin kita boleh menang 16 kerusi, boleh orang Petrajaya?” kata Baru disambut sorakan ‘boleh’ kira-kira 1,000 penduduk pada ceramah Jelajah Pakatan Harapan Rakyat, malam semalam.

Calon KEADILAN bagi Parlimen Limbang itu percaya, keangkuhan Taib dan keluarga yang jelas menghina rakyat faktor besar menyumbang penolakan mereka terhadap pemerintahan BN.

Katanya, pendedahan video NGO antarabangsa, Global Witness berkenaan rasuah pembalakan Taib bersama ahli keluarganya perlu diberi pengajaran oleh rakyat.

“Beberapa video yang jelas menunjukkan pemerintah sekarang begitu angkuh dan memandang rendah rakyat Sarawak. Mereka anggap diri mereka seperti raja, ini kita mesti ubah,” kata Baru.

Mac lalu, Global Witness mendedahkan bukti video yang mendakwa bagaimana ahli keluarga Taib dan rakan perniagaan terlibat dalam penyalahgunaan lesen pembalakan untuk memperkayakan anak-beranak mereka.

Dua sepupu Taib, ahli keluarga kepada rakan kongsi utamanya, dan seorang peguam yang mewakili kerajaan negeri dirakam dalam video, didakwa menjelaskan mekanisme untuk elak dari undang-undang sedia ada bagi memperolehi keuntungan daripada skim itu.

Melalui video itu juga, Taib serta keluarganya merendahkan suku kaum pribumi Sarawak dengan menghina mereka sebagai ‘setinggan’ di atas harta kerajaan.

“Rakyat sudah sedar dan bangkit, ini bukan saja isu agama atau perkauman tetapi keadilan untuk semua, sebab itu saya yakin dengan polisi Pakatan iaitu kesamarataan,” kata Baru lagi. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=50200

Posted by on Apr 13 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google