Pejuang Reformasi, penyokong sambut harijadi Anwar

KUALA LUMPUR 10 OGOS: Pejuang Reformasi dan penyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini meraikan harijadi ke-70 Ketua Umum KEADILAN itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Ketika tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada pukul 9 pagi, Anwar disambut kira-kira 30 orang aktivis dan penyokongnya yang berkumpul untuk menyanyikan lagu selamat hari jadi.

Mereka membawa sepanduk besar dengan imej Anwar dan ucapan selamat hari jadi, dengan tulisan: “Awak tetap relevan dalam perjuangan ini”, lapor Malaysiakini.

Sepanduk itu ditandatangani beberapa NGO pro-Anwar seperti Jingga 13, Kelab Anwar Ibrahim, Pro-Reformis 98 dan #Bebas Anwar.

Anwar muncul sebagai saksi dalam pendengaran kes saman fitnah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar terhadap menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Sekitar jam 10.30 pagi, Anwar yang dikawal ketat masuk ke bilik mahkamah dan sekali lagi menerima ucapan selamat hari jadi oleh penyokong yang kemudian menyanyikan lagu “Allah Selamatkan Kamu”.

Sentiasa tidak lekang menguntum senyum di bibir, Anwar turut mencuri kesempatan berpeluang berbual dengan penyokongnya, termasuk Sasterawan Negara, Datuk A Samad Said.

“Lepas 40 tahun tak sambut lagi dah,” katanya sambil diawasi sekumpulan pegawai penjara.

“Saya tak akan beritahu kamu usia saya kerana banyak gadis muda di sini,” katanya lagi kepada penyokong yang kemudian menjawab usia sebenarnya sudah pun diketahui umum, memetik Malaysiakini.

Seorang lagi kelihatan cukup teruja apabila dapat bersalaman dengan bekas ketua pembangkang itu.

“Dapat salam jangan basuh tangan sebulan!” laung seorang penyokong lain ketika dia keluar dari bilik mahkamah.

Ramai menunggu lama semata-mata untuk melihat Anwar dan ada yang meninggalkan mahkamah sejurus prosiding mahkamah bermula.

Apabila mahkamah berehat sebentar, penyokongnya mengeluarkan kek hari jadi untuk diserahkan kepada Anwar.

Antara yang hadir termasuk Presiden KEADILAN yang juga isteri Anwar, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Abdullah Sani Abdul Hamid dan Chang Lih Kang, serta aktivis pro-Reformasi, Ronnie Liu dan Dr Badrulamin Bahron.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70362

Posted by on Aug 10 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE