Perasuah dilantik pengerusi Felda, Bukti sandiwara Najib

Pelantikan Tan Sri Isa Samad sebagai Pengerusi Felda yang baru membuktikan ‘komitmen’ Perdana Menteri, Datuk Seri Najib dalam memerangi rasuah selama ini hanya sekadar sandiwara semata-mata,  kata Naib Presiden KEADILAN, Fuziah Salleh.

Menurut Fuziah, keputusan pelantikan itu membuktikan dengan jelas pendakwaan beberapa personaliti penting sebelum ini sekadar usaha membina imej Umno-BN menjelang pilihan raya umum  akan datang.

“Pelantikan Isa adalah petunjuk jelas BN tidak serius memerangi rasuah dan hanya bersandiwara semata-mata. Bagaimana mungkin Isa Samad, yang integritinya diragui dan digantung enam tahun bermula 2005 dari keahlian Umno disebabkan amalan politik wang, dilantik sebagai Pengerusi Felda dan diharap membela nasib peneroka?” soal Fuziah.

Fuziah merujuk tindakan kerajaan yang baru-baru ini mendakwa Mantan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Khir Toyo atas tuduhan rasuah berhubung pemilikan tanah dan rumahnya yang dianggar berharga RM24 juta.

Ia termasuk kenyataan  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk meneruskan siasatan terhadap bekas Pengerusi Syarikat Penerbangan Malaysia, Datuk Tajuddin Ramli di atas kerugian RM8 bilion syarikat tersebut.

Menurut Fuziah, Najib yang sebelum ini menggariskan beberapa perkara dalam sasaran pentadbirannya menjelang 2012, antaranya usaha untuk memerangi rasuah, adalah merupakan retorik semata-mata.

Tambah beliau, pelantikan Isa sebagai Pengerusi Felda juga merupakan bukti Umno ketandusan pemimpin berkualiti untuk diketengahkan dan akhirnya terpaksa memilih mereka yang mempunyai imej buruk dan terpalit dengan amalan rasuah atau dikenali sebagai ‘politik wang’ dalam Umno.

“Melantik Isa Samad sebagai Pengerusi Felda adalah bukti Umno terdesak, seolah-olah tiada lagi pemimpin Umno yang layak menerajui institusi tersebut, ” kata Fuziah.

Semalam, Tan Sri Isa diumumkan mengambil tempat Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor sebagai pengerusi Felda, bermula 1 Januari 2011.

Pelantikan Isa mengetuai Felda mengundang banyak kontroversi kerana beliau sebelum ini digantung keahliannya dalam Umno kerana politik wang. Isa digantung keahlian Umno selama enam tahun bermula tahun 2005 setelah  didapati membeli undi pada pemilihan Umno tahun 2004.


Tahun lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan Penunjuk Prestasi Utama (KPI) Nasional yang merangkumi enam bidang keberhasilan Utama (NKRA) termasuk usaha memerangi rasuah, selain menggubal Akta Pendedah Salahlaku bagi menggalakkan pemberi  maklumat tampil mendedahkan jenayah rasuah dan salah laku lain.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=3366

Posted by on Dec 28 2010. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE