Pembahagian kerusi Pakatan Rakyat siap 90%, calon diumum segera

(Oleh Mohd Martin Kahar)

PETALING JAYA 14 Mei: Pakatan Rakyat (Pakatan) kini dalam peringkat akhir menyiapkan senarai calon untuk Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU 13) yang dijangka diadakan dalam masa terdekat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, parti komponen dalam Pakatan telah mengemukakan calon masing-masing dan akan diputuskan secepat mungkin.

“Keseluruhannya telah diselesaikan. Parti telah kemukakan senarai calon tetapi mengikut tradisi pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat, senarai terbabit akan dimaklum untuk diputuskan bersama.

“Di Sabah dan Sarawak juga sedang berjalan, tetapi kalau ada perkembangan baru yang menarik, Pakatan Rakyat perlu merujuk pandangan rakan-rakan di sana,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pakatan Rakyat di Ibu Pejabat KEADILAN, di sini hari ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustaffa Ali berkata, rundingan pembahagian kerusi dalam Pakatan telah 90 peratus siap dan pimpinan tertinggi akan mengadakan mesyuarat terakhir dalam masa terdekat untuk memuktamadkannya.

“Kita tak boleh beritahu tarikh secara terperinci, tetapi apa yang saya boleh katakan ia akan diputuskan secepat mungkin, kurang daripada seminggu,” katanya.

Spekulasi tarikh pilihan raya hangat diperkatakan selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib berucap pada majlis Sambutan Ulang Tahun Umno Ke 66 pada 11 Mei lalu.

Najib secara sinis dilaporkan kononnya mahu bertemu Yang Dipertuan Agong untuk membubarkan Parlimen selepas menyaksikan sambutan daripada penyokongnya pada hari tersebut.

Bloger-bloger turut meramalkan PRU ke 13 akan diadakan pada 9 Jun manakala hari penamaan calon pula dijangka 26 Mei. Ramalan itu berdasarkan cuti sekolah selama dua minggu bermula 28 Mei.

Anwar ketika ditanya mengenai desas desus tarikh PRU, beliau secara berseloroh bertanya kembali kepada pemberita sama ada menerima apa-apa maklumat berkenaan pembubaran Parlimen oleh Najib.

“Anda media mesti tahu, ada tak Najib pergi ke Istana hari ini,” katanya disambut gelak tawa pemberita.

Hadir sama, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=30396

Posted by on May 14 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google