Pembangkang gesa Najib bentang kertas putih skandal 1MDB

KUALA LUMPUR 28 JUN: Blok pembangkang hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak agar memanggil sidang khas Dewan Rakyat dan membentangkan kertas putih berkenaan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berikutan saman baharu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ).

Gesaan itu dibuat dalam satu kenyataan media selepas sidang media bersama di pejabat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Parlimen pagi ini.

“Jika kerajaan tidak mahu rakyat terbawa-bawa oleh dakwaan DoJ, maka kerajaan harus menjawab segala dakwaan tersebut dengan membentangkan laporan siasatan daripada institusi-institusi negara melalui kertas putih di Parlimen.

“Nama baik negara dimalukan apabila sekurang-kurangnya sembilan negara menjalankan siasatan terhadap skandal ini. Namun kertas siasatan ditutup oleh semua agensi berwajib di Malaysia.

“Justeru, kami akan mendesak Perdana Menteri mengadakan sidang tergempar Dewan Rakyat sesegera yang mungkin dan membentangkan kertas putih berkenaan 1MDB,” kenyataan tersebut dipetik.

Desakan untuk Putrajaya mengeluarkan kertas putih – satu laporan autoritatif daripada kerajaan yang menjelaskan dengan lengkap sesuatu isu yang rumit bagi memudahkan kefahaman orang ramai – dibuat atas nama enam orang wakil parti-parti pembangkang.

Mereka adalah Dr Wan Azizah sendiri daripada KEADILAN, Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok daripada DAP, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad daripada Amanah, Ahli Parlimen Sungai Siput, Dr Michael Jeyakumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM), Ahli Parlimen Penampang, Darell Leiking daripada Parti Warisan Sabah, dan Pengarah Strategi Pertubuhan Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Dr Rais Hussin.

Kenyataan sama juga menyebut bahawa pembangkang berikrar untuk mewujudkan sebuah Jawatankuasa Tindakan 1MDB (1MDB Action Committee) yang akan merangka strategi dan respons pembangkang terhadap isu 1MDB.

“Menurut dokumen mahkamah, jumlah dana 1MDB yang didakwa diselewengkan telah mencecah hampir USD4.47 bilion (RM19.15 bilion).

“Maka Perdana Menteri, kerajaan persekutuan dan agensi-agensi berwajib tidak boleh lagi berdiam diri mengenai isu ini.

“Tumpuan harus diberikan untuk membersihkan nama negara dan menyelesaikan kemelut yang melanda diakibatkan oleh skandal penyelewengan 1MDB,” kenyataan itu dpetik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70169

Posted by on Jun 28 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE