Pemimpin Harapan berarak kenang 1,000 hari pemenjaraan Anwar

Kira-kira 200 orang penyokong dan pemimpin Pakatan Harapan berarak dari bangunan Parlimen ke Dataran Merdeka malam tadi sempena 1,000 hari pemenjaraan ikon Reformasi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perarakan bermula seawal 9 malam dengan perhimpunan di hadapan Parlimen dengan hadirin memegang sepanduk dengan slogan “1,000 hari pengorbanan” sebelum mereka berarak ke Dataran Merdeka.

Perarakan itu yang berlangsung dengan iringan laungan “Bebas Anwar”, “Hidup Rakyat” dan “Reformasi” disertai semakin ramai orang sebaik sampai ke Dataran Merdeka.

Presiden Pakatan Harapan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar, Ketua Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Batu Tian Chua, Ahli Parlimen R Sivarasa, Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul adalah antara yang menyertai perarakan tersebut.

Pemimpin DAP Lim Kit Siang, Anthony Loke dan Teng Chang Khim, serta Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad serta Ahli Parlimen Pokok Sena daripada PAS Datuk Mahfuz Omar turut hadir menyatakan sokongan.

Wan Azizah dalam ucapannya memberitahu hadirin bahawa Anwar kini bergelut menahan sakit dan bergantung kepada ubat tahan sakit selepas kemalangan konvoi penjara September lalu.

“Ia satu penyeksaan namun beliau sanggup menempuhnya demi negara kita.

“Kita tidak harus lupa sumbangan, bukan saja Anwar tapi semua yang pernah berkorban. Pengorbanannya ada sebab. Jangan lupa bahawa ini adalah demi generasi masa depan,” kata Presiden KEADILAN itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dalam ucapannya menyeru hadirin agar bersama-sama membuat hitungan detik menuju hari pembebasan Anwar.

“Hari ini bukan sahaja hari ke-1,000 Anwar Ibrahim dipenjarakan. Hari ini kita mula countdown untuk hari Anwar Ibrahim dibebaskan,” katanya.

Dalam acara malam tadi, lilin disusun di atas jalan raya membentuk perkataan “Anwar 1,000 hari dipenjara” dan dinyalakan sebagai memperingati penganiayaan terhadap beliau.

Pemimpin Pakatan Harapan lain turut mengambil peluang menyampaikan ucapan ringkas memperingati Anwar.

Pada Mac 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan membebaskan Anwar daripada Fitnah II.

Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan Anwar dijatuhkan hukuman penjara lima tahun.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70746

Posted by on Nov 7 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE