Pemimpin muda KEADILAN bantah seruan tarik ijazah

Srikandi KEADILAN menggesa Universiti Malaya (UM) agar tidak menarik balik ijazah graduan yang memprotes naib canselor universiti itu pada Istiadat Konvokesyen, Isnin lalu.

Ketuanya, Nurainie Haziqah Shafii berkata protes yang dilakukan mahasiswa tersebut, Wong Yan Ke, masih di dalam ruang lingkup kebebasan bersuara yang sentiasa menjadi amalan Pakatan Harapan.

“Saya seorang pendukung kebebasan bersuara, memberi ruang dan peluang terutamanya kepada pelajar universiti sebab selama ini semasa pentadbiran kerajaan lama kita tidak mempunyai hak itu untuk bersuara.

“Dia mempunyai hak untuk melakukan protes itu cuma menarik balik ijazah itu adalah satu tindakan yang tidak profesional dan tidak wajar terhadap beliau.

“Saya tidak rasa pelajar UM itu melampaui batas. Ia tetap dalam lingkungan kebebasan bersuara,” katanya kepada KeadilanDaily.

Nurainie yang juga merupakan peguam menambah, pihak universiti seharusnya bersikap lebih terbuka dalam menerima kritikan mahasiswa.

Sementara itu, Ketua Angkatan Muda KEADILAN Wilayah Persekutuan, Naim Brundage berkata terdapat pelbagai saluran lain yang boleh digunakan oleh graduan tersebut dalam menyampaikan protes.

“Beliau berada dalam entiti pelajar UM dan saluran pertama yang mereka patut guna adalah berjumpa dengan VC tersebut dan mengadakan perbincangan dahulu sebelum melakukan apa-apa protes.

“Seperti kami juga di parti politik dan badan NGO banyak lakukan protes tetapi guna saluran yang betul. Ada banyak lagi cara untuk kita suarakan pandangan kita daripada melanggar majlis orang lain, ada hak kebebasan bersuara tetapi ia perlu dihormat,” kata presiden Mahasiswa KEADILAN Malaysia itu.

Isnin lalu, Wong dilaporkan membawa plakad dan melaungkan, “Tolak rasis. Undur VC. Ini Tanah Malaysia” di pentas konvokesyen UM, sejurus menerima skrol.

Tindakan itu dipercayai bagi membantah Naib Canselor UM, Dr Abdul Rahim Hashim yang bertindak sebagai Ketua Eksekutif Kongres Maruah Melayu 6 Oktober lalu.

Majlis Profesor Negara (MPN) dalam reaksi mereka berpendapat UM berhak menarik ijazah Wong berdasarkan peruntukan peraturan yag ditetapkan universiti.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74159

Posted by on Oct 18 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE