Pemimpin perkauman tidak ada tempat dalam KEADILAN- Nik Nazmi

PETALING JAYA:  KEADILAN tidak mempunyai tempat bagi pemimpin yang memiliki mentaliti perkauman yang tebal  kerana KEADILAN merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif, kata Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Beliau mengulas tindakan Ahli Parlimen Padang Serai, N. Gobalakrishnan yang mengumumkan keluar KEADILAN baru-baru dan mendakwa berkali-kali kononnya  KEADILAN meminggirkan masyarakat India.

Menurut Nik Nazmi, isu yang sama juga pernah dibangkitkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu Zulkifli Nordin yang sebelum ini mendakwa KEADILAN mengabaikan masyarakat  Melayu.

“Tuduhan-tuduhan bercanggah ini membuktikan bahawa pemimpin yang masih terperangkap dengan mentaliti perkauman tidak sesuai berada di dalam KEADILAN yang merupakan parti politik pelbagai kaum yang progresif.

“Ramai pimpinan KEADILAN telah menjawab tuduhan Gobala secara spesifik dan menafikan dakwaannya bahawa KEADILAN meminggirkan masyarakat India.

“Masyarakat sendiri dapat menilai dakwaannya hanya terbit selepas beliau kalah dalam pemilihan dan tidak dilantik menjadi Naib Presiden Parti,” katanya dalam sidang media di pejabat parti itu di Petaling Jaya pada 1 Februari lalu.

Gobala sebelum ini mengaibkan KEADILAN dan pemimpin tertinggi parti itu di twitter selepas seorang pemuda India yang juga seorang peguam hak asasi manusia, N. Surendran dilantik sebagai Naib Presiden parti itu.

Namun, beberapa pimpinan senior dalam KEADILAN mengadakan sidang media sebelum ini menyokong penuh pelantikan Surendran.

Gobala turut menyerang parti dengan mengadakan sidang media bersama pemimpin MIC beberapa minggu lalu dan tidak menjawab surat tunjuk sebab yang diserahkan kepadanya.

Pada sidang media sama, Nik Nazmi turut menjelaskan jumlah sebenar anggota KEADILAN berketurunan India dalam parti itu.

“Saya juga ingin membetulkan laporan Free Malaysia Today (FMT) yang menyebut bahawa 40 peratus anggota KEADILAN adalah dari masyarakat India sementara Gobala pula menyatakan 90 peratus pimpinan KEADILAN adalah dari masyarakat Melayu.

Laporan dalam laman portal itu boleh dicapai menerusi alamat (http://www.freemalaysiatoday.com/2011/01/30/lets-debate-my-mp-status-gobala-tells-wan-salleh/).

Nik Nazmi menjelaskan, daripada 371,612 anggota KEADILAN, Melayu adalah 45 peratus, Cina 11 peratus, India 23 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula sebanyak 21 peratus.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi kepimpinan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN untuk sesi 2010-2013 pula, Melayu mewakili 62 peratus, Cina 20 peratus, India 12 peratus, Bumiputera Sabah, Sarawak dan lain-lain pula 4 peratus.

“Hakikatnya majoriti besar pimpinan KEADILAN dipilih menerusi sistem satu anggota satu undi dan anggota KEADILAN jelas meletakkan kebolehan, keupayaan serta komitmen kepada perjuangan mengatasi sebarang perkiraan perkauman.

Justeru, katanya, amat sesuai sekali pemimpin seperti Gobala yang masih lagi terperangkap dengan mentaliti lapuk untuk keluar parti.

“Rakyat akan menilainya di dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan KEADILAN sebagai parti politik pelbagai kaum yang progresif akan terus bergerak ke hadapan,” tegasnya lagi.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=5820

Posted by on Feb 1 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google