Penahanan Hilmi di bawah Sosma: Peguam fail ‘habeas corpus’

(Oleh Aisha Geoffrey)

KUALA LUMPUR 18 FEB: Permohonan habeas corpus difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bagi mencabar penahanan Muhammad Hilmi Hasim di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma), 7 Februari lalu.

Peguam mewakili Hilmi, Fadiah Nadwa Fikri berkata, ia dibuat kerana Sosma bertentangan dengan perlembagaan.

“Penahanan Hilmi tidak patut di bawah Sosma. Tangkapan bersifat ‘mala fide’ atau berniat jahat, dan tahanan itu bukan bertujuan untuk siasatan.

fadiah“Hilmi ditangkap bersama majikannya, Yazid Sufaat. Saya dan peguam Murni Hidayah kebetulan ada ketika itu. Saya saksikan bagaimana tangkapan itu dibuat tanpa memberitahu Hilmi apa sebab beliau ditahan, walaupun Hilmi ada bertanya pegawai polis tentang penahanannya,” kata Fadiah kepada media.

“Kami kemudian bertanya pegawai sebab penahanan. Ini kerana ia termaktub dalam undang-undang dan Sosma sendiri bahawa sebab penahanan perlu dijelaskan kepada orang ditahan,” jelasnya lagi.

Hilmi dibawa ke Pusat Tahanan Reman Jinjang dan dinafikan akses kepada peguam melebihi 48 jam seperti yang diperuntukkan dalam Sosma.

“Beberapa hari melepasi tempoh 48 jam, kami masih belum dapat bertemu Hilmi, walaupun temu janji dibuat. Kami juga membawa ibu Hilmi, Rahamah Abdul Majid kerana menurut polis hanya ibunya dibenar berjumpa Hilmi,” jelas Fadiah.

Rahamah kemudian diarah ke Balai Polis Sungai Buloh untuk bertemu Hilmi tetapi sekali lagi hak itu dinafikan apabila pegawai polis, Inspektor Azawan mahu menemuduga Rahamah terlebih dahulu.

“Tiba-tiba mereka bawa ibu Hilmi untuk ditemuduga. Peguam bertanya apa tujuan temuduga kerana tiada peruntukan dalam prosedur melainkan di bawah Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah,” kata Fadiah.

“Kata pegawai polis itu, beliau hanya ingin menemuduga dan percakapan itu bukan dibuat di bawah Seksyen 112, malah peguam dihalang untuk menemani ibu Hilmi,” katanya.

Menurut laporan permohonan habeas corpus tersebut, polis melanggar Seksyen 4 (2) Sosma kerana enggan memberitahu alasan tangkapan, dan pencabulan Fasal 5 (3) Perlembagaan Persekutuan kerana Hilmi dihalang bertemu peguam.

Tambah Fadiah, Seksyen 4(5) Sosma bertentangan Fasal 8 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan setiap orang patut mendapat perlindungan undang-undang.

“Kita tak diberitahu sebab penahanan. Tahanan juga dinafikan hak bertemu peguam, itu menjadikan semua orang boleh ditahan di bawah Sosma,” kata Fadiah.

Yazid dan kenalannya, Halimah Hussein yang turut ditahan di bawah Sosma akan dibicara bermula Khamis ini, atas tuduhan melakukan kesalahan menjalankan pelakukan perbuatan keganasan dengan niat untuk memajukan suatu tujuan ideologi, manakala Hilmi sehingga kini masih ditahan tanpa sebarang pertuduhan.

Habeas corpus adalah perintah mahkamah supaya seseorang dilepaskan daripada penahanan yang tidak mengikut undang-undang.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=45355

Posted by on Feb 18 2013. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google