Peneroka Felcra rayu tunggakan 9 bulan sara hidup

Peneroka Felcra Berhad (Felcra) merayu Putrajaya untuk menjelaskan segera bayaran bantuan sara hidup yang tertunggak sejak Ogos 2018.

Bercakap bagi pihak peneroka, Anggota Parlimen Sungai Petani, Johari Abdul menggesa masalah itu diselesaikan kerajaan menjelang Hari Raya Aidilfitri ini.

“Kita faham ini masalah pengurusan lalu. Sebagai kerajaan bertanggungjawab, saya berharap isu ini dapat diselesaikan sebelum Aidilfitri kerana pihak menderita sekarang bukan pengurusan Felcra lalu, tetapi peserta.

“Saya minta supaya penyiasatan menyeluruh dilakukan, harus ada audit forensik supaya setiap perbelanjaan yang telah dikeluarkan oleh pihak lembaga dan pengurusan Felcra itu disiasat secara terperinci,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, semalam.

Menurut Johari, beliau percaya maalah itu sebahagiannya disumbangkan oleh penyusutan aliran tunai Felcra.

“Pada 2011, aliran tunai Felcra hampir RM3 bilion.

“Namun setakat Jun tahun lalu, akaun Felcra hanya ada RM300,000 dan sekarang mungkin hampir kosong sekali gus berdepan risiko muflis.

“Lebih penting adalah nasib 120,000 peserta Felcra yang sebahagiannya tidak lagi menerima elaun sara hidup sejak Ogos tahun lalu kerana Felcra tiada wang untuk membayarnya,” katanya.

Mengiringi Johari pada sidang media semalam adalah wakil-wakil peneroka Felcra.

Ketua Peserta Felcra Gelong Pepuyu Bota, Perak, Kapten (B) Usaili Alias berkata, ada peserta Felcra di Negeri Sembilan yang terpaksa hidup dalam keadaan tanpa bekalan air dan elektrik kerana tidak mampu membayar bil berkenaan.

“Dividen mereka dari Ogos 2018 sehingga hari ini masih belum nampak apatah lagi menjelang Aidilfitri.

“Jika kerajaan mampu memberikan RM6 bilion untuk FELDA dan RM17.8 bilion untuk Tabung Haji, kami berharap Felcra tidak dianaktirikan,” katanya.

Pengerusi Koperasi Felcra Jaya Putra Berhad, Jerantut, Pahang, Rosli Ismail berkata kebanyakan peserta peneroka terdiri daripada warga emas 60 tahun ke atas yang tidak mampu lagi mengusahakan tanah milik mereka.

“Mereka sudah tua dan tidak berdaya nak bekerja bukan soal malas.

“Ada peserta berusia 83 tahun di kawasan saya yang datang bertanya saya bila akan mendapat elaun sara hidup sebab mahu menyambut Hari Raya.

“Macam mana saya hendak jawab? Saya sedih melihat mereka,” katanya.

Felcra Berhad mula ditubuhkan pada 1 April 1966 sebagai Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Pesekutuan – sebuah badan berkanun di bawah Akta Memperbadankan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah.

Ia kemudian dikorporatkan pada 1 September 1997 dan berubah status kepada sebuah entiti syarikat milik penuh kerajaan.

Terkini, bekas pengerusi Felcra iaitu Anggota Parlimen Kinabatangan, Bung Mokhtar Radin dan isterinya pelakon Zizie Izette berdepan tuduhan rasuah.

Mereka didakwa menerima imbuhan sebanyak RM2.8 juta untuk pelaburan Felcra ke dalam unit saham amanah Public Mutual.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73460

Posted by on May 14 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE