Peniaga Little India mogok, kibar bendera hitam

(Oleh: Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 100 peniaga di Brickfields atau lebih dikenali Little India berhimpun bagi membantah tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membuka laluan untuk bas dan teksi sepanjang jalan Tun Sambanthan sejak minggu lepas.

Bagi menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap tindakan DBKL itu, kumpulan tersebut mogok dengan menutup kedai selama sejam dan mengibarkan bendera hitam tanda berkabung.

Walaupun dikawal ketat polis dan DBKL, namun perhimpunan aman itu berlangsung tanpa ada tangkapan.

Ia turut dihadiri pemimpin Pakatan Rakyat (PR) iaitu Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun dan Ahli parlimen Subang, R Sivarasa.

“Kami kecewa kerana DBKL tidak mempedulikan nasib peniaga di sini, langsung tidak patut jalan dibuat dua hala. Bagaimana kami nak berniaga, kereta tiada tempat parkir.

“Pelanggan kami sudah tidak mahu datang, kalau begini macam mana mahu meneruskan perniagaan. Sewa di sini mahal, semuanya RM10,000 ke atas,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Little India, S. Pathavachalam.

Tambahnya, pembaharuan yang dilakukan DBKL itu tidak mendatangkan faedah kepada peniaga sebalik mengancam keselamatan pengguna jalan berkenaan.

“Bukan sahaja kami sudah kehilangan pelanggan kerana tiada tempat parkir, bas dan teksi juga dipandu dengan laju sehingga menyebabkan lima kemalangan berlaku dalam 48 jam.

“Perkara ini kami telah laporkan kepada DBKL, tetapi tiada jawapan daripada mereka. Mana lagi kami mahu mengadu,” katanya.

Sementara itu, Sivarasa yang turut bersimpati nasib peniaga di kawasan itu mengesyorkan kerajaan turun padang dan mendengar masalah dihadapi peniaga.

“Jangan kerana mementingkan syarikat besar sehingga melupakan peniaga-peniaga yang berpuluh tahun menjalankan bisnes mereka di sini.

“Bangunan MRCB yang akan siap tidak lama lagi itu syarikat besar, sepatutnya kerajaan menyeimbangkan keperluan terutamanya kawasan parkir kereta dan mencari alternatif mengelakkan kesesakan lalu lintas tanpa menyebabkan peniaga kerugian,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24229

Posted by on Dec 9 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE