Perang serang menyerang

(Oleh Hishamuddin Rais)

Ketika saya menggarap tulisan ini Perang Iraq masih berterusan. Warga Iraq yang gugur berjumlah 1,455,590. Jumlah soldadu Amerika yang gugur dalam Perang Iraq ialah 4,802. Jumlah soldadu sekutu Amerika yang tewas dalam Perang Afghanistan ialah 3,487.

Ini belum diambil kira yang cedera parah. Yang putus tangan dan kaki. Yang cedera saraf. Yang cedera jiwa. Yang terus merana gila akibat dadah.

Jumlah perbelanjaan perang di Irag dan Afghanistan ialah $1,772,537,275,740 dolar. Ini belum diambil kira perbelanjaan perang di Syria.

Selesai sahaja saya menggarap tulisan ini jumlah kos perbelanjaan tentera akan terus meningkat.

Mengikut kajian pemenang Hadiah Nobel Ekonomi, Joseph E Stiglitz dan pensyarah ekonomi Linda J Bilmes dari Jabatan Ekonomi Universiti Harvard, setiap minit jumlah belanja perang di Iraq akan bertambah 500,000 dolar. Ertinya perang Iraq memakan belanja 720 juta dolar sehari.

Jumlah dana yang digunakan sehari dalam Perang Iraq boleh mendirikan rumah untuk 6,500 keluarga Amerika atau memberi khidmat perubatan percuma kepada 423,529 kanak-kanak Amerika. Atau memberi tenaga elektrik percuma kepada 1.27 juta rumah di Amerika. Data ini dilaporkan oleh akhbar Washington Post pada 22 September 2007.

Ini laporan satu dekad dahulu. Kini Perang Iraq dan Perang Afghanistan berjalan selama 16 tahun. Pasti jumlah angka bertambah. Ini adalah perang yang paling lama untuk Amerika. Tarikh tamat masih belum dapat dilihat.

Lalu timbul persoalan hakiki. Apakah para pemimpin politik di Amerika tidak menyedari hal ini? Apakah para intelektual Amerika tidak tahu perkara ini? Apakah rakyat Amerika tidak sedar tentang hal ini?

Kes Amerika ini ada persamaan dengan apa yang kita hadapi di Malaysia sekarang. Sama seperti kes Najib mencuri duit daripada 1MDB. Sama seperti Rosmah merembat duit 1MDB untuk membeli intan berlian. Sama seperti kes anak Rosmah merembat duit 1MDB untuk membuat filem di Hollywood.

Rakyat Malaysia dibutakan. Rakyat Amerika juga menjadi kabur tidak dapat melihat apa sebenarnya sedang berlaku.

Pada ketika ini ada persekongkolan antara lembaga-lembaga daulah yang dapat menutup kes perang di Iraq, di Afghanistan dan di Syria. Ini sama seperti Najib dan Rosmah berjaya menjadi kebal kerana PDRM, Peguam Negara, Hakim Negara, SPRM dan pemilik media – semuanya lantikan daripada pilihan Najib dan Rosmah.

Yang berbeza antara Amerika dan Malaysia hanya jumlah dana yang dirembat. Amerika ialah sebuah empayar memiliki kepentingan di seluruh dunia. Manakala Malaysia hanya memiliki kepentingan di Sabah dan Sarawak. Skalanya agak berbeza tetapi pendekatan adalah sama.

Bohong, tipu, putar dan bohong lagi.

hishamuddin-raisDari logik akal pasti warga Amerika, ahli Dewan Kongres dan Dewan Senat akan bersuara untuk mempersoalkan atau sekurang-kurangnya bertanya akan hal perang yang berlanjutan ini. Ini tidak berlaku.

Apa yang berlaku ialah di sebaliknya. Hakikatnya warga Amerika berjaya dikaburkan mata mereka. Dibantutkan fikrah mereka. Mata telah juling dan dedak telah bertaburan masuk.

Untuk memahami apa yang sedang berlaku di Amerika dan dunia kita hari ini, kita wajib kembali melihat Ledakan 9/11. Tidak dapat tidak ini adalah permulaan garis politk baru di Amerika. Ledakan 9/11 adalah tangga patukan perubahan politik dunia.

Ini bukan bermakna sebelum 9/11 Amerika ini syumul dan suci. Apa yang berlaku sesudah 9/11 ialah perubahan dasar – satu dasar baru untuk Amerika melihat dunia.

Sesudah selesai Perang Dingin. Setelah runtuhnya kuasa Soviet Rusia pada tahun 1991 satu dunia baru seharusnya muncul. Bahaya perang dari Perang Dingin telah diketepikan.

Segala dana – dolar, ruble, riyal dan ringgit – bajet Perang Dingin – seharusnya digunakan untuk kebajikan umat manusia. Berbilion-bilon dolar dapat diselamatkan daripada bajet pertahahan akan membawa masa depan yang menjanjikan bukan sahaja untuk warga Amerika tetapi untuk umat manusia.

Para demokrat dari semua negara bangsa pada ketika itu mengharapkan tamadun manusia, demokrasi dan hak asasi manusia sejagat akan dinobatkan.

Ini tidak berlaku. Harapan tinggal harapan. Kenapa ini tidak berlaku? Yang sampai ialah Ledakan 9/11.

Harus diakui bahawa Ledakan 9/11 adalah projek yang diatur dan disusun oleh daulah terpendam/deep state. Daulah terpendam Amerika ini bertanggungjawab menjalankan projek meledakkan bangunan WTC di New York.

Tujun ledakan ini ialah untuk menarik pandangan rakyat Amerika bahawa Amerika dalam bahaya. Justeru, jika dalam bahaya maka rakyat Amerika wajib bersedia untuk berperang. Ini dipanggil projek mengolah persetujuan.

Di belakang projek Ledakan 9/11 ini adalah kumpulan pemikir Neocon yang memberi nasihat kepada Presiden Bush.

Manakala di belakang Neocon ini ialah Kompleks Industri Persenjataan (KIP). Lembaga KIP ini adalah kumpulan syarikat gergasi yang membuat senjata pelbagai bentuk. Pelbagai jenis senjata – kecil dan besar – dari roket ke jarum – akan direka, akan dibuat untuk memusnahkan musuh.

Industri senjata adalah industri paling menguntungkan untuk ekonomi Amerika. Senjata ini bukan hanya untuk soldadu Amerika tetapi untuk dipasarkan ke seluruh dunia.

Contoh paling akhir yang kita baca ialah Arab Saudi membeli senjata berjumlah 110 bilion dolar. Perjanjian jual beli ini baru sahaja dibuat ketika Trump selamat bertawaf di Arab Saudi sebelum bulan puasa.

Ketika Perang Dingin berjalan musuh Amerika ialah blok sosialis dari Rusia/USSR. China Merah, Vietnam, Cuba dan Korea Utara pada ketika itu dianggap sebagai musuh sampingan.

Ketika Perang Dingin berjalan industri senjata bergerak rancak. Ada sahaja senjata baru direka untuk menandingi senjata buatan Rusia. Justeru, apabila Perang Dingin tamat maka KIP menjadi kendur.

Hakikatnya KIP memerlukan perang. Tanpa perang senjata tidak dibuat. Perang memerlukan musuh. Maka musuh terus dicipta.

Apabila blok sosialis Rusia tidak lagi wujud sebagai musuh maka KIP wajib menimbulkan dan mencipta musuh baru. Kali ini musuh ialah Arab dan Islam.

Arab dan pelbagai jenis anak didik Amerika telah sedia wujud terlatih daripada perang di Afghanistan yang bermula pada tahun 80-an. Osama bin Laden seorang Arab adalah boneka yang dieram dan menetas dalam reban CIA.

Dunia mengetahui bahawa 19 orang yang terlibat dalam ledakan WTC adalah Arab dan majoriti adalah warga Arab Saudi. Dunia juga mengetahui bahawa mereka ini diatur, dilatih dan dididik oleh CIA.

Para Arab yang dididik oleh CIA ini telah meledakkan WTC. Amerika terperanjat. Warga Amerika marah. Ketika marah ini warga Amerika telah menelan laporan media yang berjaya mengolah persetujuan. Media telah diyakinkan bahawa Amerika dalam bahaya. Islam dan Arab adalah musuh baru mereka.

Sesudah musuh baru ini dibuktikan wujud maka Rumah Putih diyakinkan oleh para pemikir Neocon bahawa jangan sesekali dibenarkan mana-mana negara memiliki keupayaan untuk bersaing atau berupaya menandingi kekuatan ketenteraan dan ekonomi Amerika.

Dasar inilah yang dijadikan pedoman oleh Rumah Putih sejak daripada Bush, Clinton hingga ke Obama. Dasar ini lahir daripada pemikiran kumpulan Neocon. Ini ialah satu kumpulan pemikir yang bersubahat dan bekerja rapat dengan gerakan Zionis Antarabangsa.

Mengikut dasar ini – semua negara dalam dunia wajib menggunakan dasar, cara dan pendekatan sosioekonomi kapitalis seperti mana yang sedang digunakan di Amerika.

Hegemoni Amerika tidak boleh dicabar. Kuasa mutlak – kuasa tentera dan kuasa ekonomi Amerika tidak boleh dipersoalkan. Hakikatnya warga dunia dan setiap negara bangsa wajib menyembah Rumah Putih. Ini adalah kurun baru untuk Empayar Amerika.

Semua ini adalah strategi dan projek diajukan oleh kumpulan Neocon yang bersarang di Washingtion DC. Sosok-sosok Neocon ini berkumpul sebagai badan pemikir, pemberi nasihat, pengamal media, pemilik media atau pelobi di Washington DC.

Neocon ini memiliki pengaruh yang maha luas. Ini kerana di belakang mereka ialah KIP. Industri senjata memberi dana kepada NGO dan lembaga pemikir ini untuk memastikan dasar baru akan diguna pakai.

Bersama kumpulan Neocon ini ialah pelobi yang ditaja oleh Zionis Israel. Wujud kerjasama yang amat intim antara Neocon dan pelobi Zionis. Kerjasama ini terjalin kerana mereka berkongsi idealogi.

Neocon pembawa mazhab kapitalis dan melihat Arab sebagai musuh. Pelobi Zionis Israel juga pendukung tegar mazhab kapitalis dan sedang berperang dengan Arab.

Ikatan kerjasama Neocon dan Pelobi Zionis ini sedang dibantu oleh Arab Saudi. Kerjasama Amerika dengan Arab Saudi ini bukan satu yang baru. Amerika sedar dan faham bahawa tanpa kaum kerabat Saud berkuasa di Arab Saudi dengan sendirinya Empayar Amerika akan runtuh sama.

Jika Saudi di bawah pemimpin Arab jenis Naseer, jenis Saddam, jenis Gaddafy atau jenis Bashar – bukan sahaja keluarga Saud akan lungkup. Dolar Amerika itu akan terbarai tidak laku.

Pada ketika ini kerjasama Arab Saudi dengan Amerika adalah kerjasama dua lanun yang sokong-menyokong. Mereka sedar kapal mereka sedang terumbang-ambing dipukul oleh tiupan angin baru dari Rusia, China, Iran dan Syria.

Dolar Amerika bergantung dengan dasar yang memaksa semua jual beli bahan bakar petroleum dalam dunia ini wajib menggunakan dolar. Ini menjadikan dolar Amerika relevan. Ini menjadikan negara Amerika kuat dari segi ekonomi.

Justeru, kita melihat segala keganasan, segala kejahatan, segalan pencabulan hak asasi manusia, segala jenis penindasan yang dilakukan oleh ARab Saudi – tidak Amerika, tidak United Kingdom, tidak Obama, tidak Trump, tidak Teresa May dan tidak ada pemimpin negara yang berani menyuarakan bantahan.

Hari ini Yakjuj Makjuj telah sampai. Satu berpusat di Washington DC. Satu lagi berpusat di Riyadh. Hanya Iran, China, Rusia dan Hezbullah yang berani menentang Yakjuj Makjuj ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70191

Posted by on Jul 11 2017. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE