Persaingan sihat untungkan pengguna – TPM

Perlakuan anti-persaingan seperti kartel perniagaan, salahguna kuasa atau monopoli perlu ditangani bagi menjamin pertumbuhan ekonomi negara, kata Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pengerusi Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (Naccol) itu berkata, amalan itu menggangu pasaran perniagaan yang sepatutnya bersaing secara sihat dan kompetitif.

“Persaingan yang setara secara tidak langsung akan melindungi rakyat kerana ia akan memastikan produk dan perkhidmatan dapat ditawarkan dengan harga yang berpatutan, berkualiti serta mempunyai banyak pilihan,” katanya pada Simposium Persaingan Setara dan Kos Sara Hidup di Putrajaya, semalam.

Antara contoh amalan perniagaan yang tidak sihat ialah apabila peniaga memonopoli pasaran secara bersama dengan menetapkan harga jualan jauh melebihi kos pengeluaran demi meraih keuntungan maksimum, katanya.

Dengan menggalakkan persaingan yang setara, Dr Wan Azizah berkata pengusaha akan menjadi lebih kreatif, cekap dan berdaya saing, seterusnya memacu pertumbuhan ekonomi negara.

“Pengguna akan rugi jika mereka mempunyai kurang pilihan, berhadapan dengan harga tinggi dan barangan yang berkemungkinan tidak bermutu,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, penguatkuasaan Akta Persaingan 2010 adalah penting ke arah membentuk pasaran yang kompetitif dan sihat dengan melindungi proses persaingan untuk kepentingan pengguna, perniagaan dan ekonomi.

Penguatkuasaan akta itu juga membantu dalam memupuk kecekapan, inovasi dan sifat keusahawanan untuk menghasilkan produk atau perkhidmatan berkualiti tinggi dengan harga berpatutan, katanya.

Beliau berkata pasaran yang bebas dan berdaya saing akan menarik lebih ramai pemain industri ke dalam pasaran seiring matlamat kerajaan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara tumpuan pelaburan, lapor Bernama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74276

Posted by on Nov 13 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE