Pertumbuhan gaji pekerja Malaysia masih rendah

Oleh AKMAL NASIR

Masalah pertumbuhan gaji yang rendah dilihat perlu menjadi fokus utama kerajaan untuk ditangani secepat mungkin. Kadar pertumbuhan yang rendah membuatkan peningkatan kos sara hidup semakin dirasai oleh kebanyakan kelompok masyarakat sama ada yang tinggal di bandar atau di luar bandar.

Sebelum ini, Bank Dunia menyemak semula unjuran Keluaran Negara Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada 4.7 peratus pada tahun 2018. Fitch Solutions juga menyemak semula turun unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia kepada 4.6 peratus pada 2018 berbanding 5.1 peratus sebelumnya.

Untuk rekod, Malaysia mencatatkan angka KDNK yang tinggi pada 2017 yakni 5.9 peratus.

Secara ringkasnya, angka KDNK bergantung kepada penghasilan barangan dan perkhidmatan dalam ekonomi sesebuah negara. Ini boleh dicapai dengan dua cara – menambah pekerjaan atau menambah produktiviti.

Umum mengetahui bahawa penyemakan semula unjuran ini adalah disebabkan perubahan dasar ekonomi dan pelan rasionalisasi yang ketat yang diambil oleh kerajaan baru Pakatan Harapan, bagi mengurangkan kadar hutang negara yang tinggi dan mengimbangi semula defisit fiskal dan perbelanjaan negara.

Namun, walaupun dengan unjuran penurunan angka KDNK pada 2019, rakyat seolah-olah tidak terkesan akan perkembangan tersebut. Biarpun isu ini sering dimainkan oleh pihak pembangkang yang cuba menunjukkan bahawa kerajaan sekarang tidak mampu mengurus ekonomi negara dengan baik.

Hal ini kerana walapun negara sebelum ini mencatatkan pertumbuhan positif KDNK setiap tahun, kesejahteraan ekonomi seolah-olah tidak dapat dirasai oleh rakyat. Sebaliknya, rakyat semakin terbeban dengan kos sara hidup yang tinggi.

Kemarahan rakyat memuncak ketika pilihan raya umum yang lepas yang menyaksikan kejatuhan Umno – Barisan Nasional selepas 60 tahun memerintah negara.

Sudah pasti terdapat beberapa faktor yang menjurus kepada pertumbuhan gaji pekerja yang rendah. Salah satu faktor yang ingin saya bincangkan di sini adalah masalah lambakan pekerja asing di Malaysia yang sememangnya menjadi satu isu yang sering diperkatakan oleh masyarakat.

Menurut sumber, kewujudan sekurang-kurangnya 2 juta perkeja asing menyebabkan pertumbuhan gaji yang rendah pada kadar 2.4%. Kadar gaji harus berkembang pada purata pelarasan inflasi tahunan 3.5% untuk membolehkan negara mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2023.

Oleh itu, melihat kepada situasi peratusan pertumbuhan gaji yang rendah yang dihadapi oleh pasaran buruh ketika ini, terdapat kemungkinan yang tinggi bahawa peningkatan angka KDNK pada tahun-tahun sebelum ini didorong oleh pertambahan pekerjaan yang hanya tertumpu kepada kemahiran rendah dan sederhana.

Di Malaysia, memang sudah menjadi kebiasaan golongan majikan untuk mengambil pekerja asing untuk mengisi pekerjaan disebabkan kos yang lebih murah (gaji lebih rendah). Ini disokong oleh data yang telah dikeluarkan.

Bagi tahun 2011 hingga 2015, kita telah melihat beberapa rekod pekerja asing yang berdaftar melonjak naik iaitu daripada 1.82 juta orang (2010) kepada 2.14 juta orang (2015).

Menurut Persekutuan Majikan Malaysia, anggaran jumlah pekerja asing yang berdaftar dan tidak berdaftar adalah sekitar 6 juta orang pada 2016, ini bersamaan dengan kira-kira 40% daripada jumlah tenaga kerja di negara ini.

Satu persoalan yang mungkin timbul adalah mengapa majikan mengambil terlalu ramai pekerja asing? Isu ini pasti akan berbalik kepada alasan yang sama – tiada rakyat Malaysia khususnya golongan muda atau graduan yang ingin melakukan kerja-kerja bergaji rendah.

Menurut kajian yang dikeluarkan oleh Khazanah Research Institute (KRI) baru-baru ini – The School-To-Work Transition Survey, golongan belia menganggap pekerja asing sebagai pesaing dalam mendapatkan pekerjaan dalam negara.

Hampir 50% daripada keseluruhan golongan belia merasakan bahawa golongan migran telah menggugat peluang mereka untuk mencari kerja, walaupun dalam kerja-kerja yang berkemahiran rendah dan sederhana.

Oleh itu, satu penilaian semula dalam polisi pekerja buruh terutamanya yang melibatkan golongan migran perlu diteliti semula secepat mungkin bagi mengatasi masalah ini.

Satu penetapan baru dalam syarat pengambilan pekerja untuk pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana mungkin perlu diperkenalkan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada pekerja asing.

Rakyat Malaysia masih memerlukan pekerjaan, dengan syarat gaji yang diberikan setimpal dengan perbelanjaan dan kos sara hidup berkeluarga sekarang.

Menurut KRI, daripada 200,000 pekerja Malaysia yang berulang-alik ke Singapura (yang mana kebanyakannya menetap di Johor Bahru), didapati 40 peratus daripada mereka memiliki pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana.

Majikan tidak seharusnya mengambil kesempatan terhadap pasaran buruh tempatan hanya kerana terdapat alternatif pekerja asing yang lebih murah (gaji rendah). Hal ini telah menyebabkan pertumbuhan gaji yang terbantut dalam kalangan pekerja tempatan lalu memberi kesan dalam keadaan harga barang yang kian meningkat setiap tahun.

Oleh yang demikian, kerajaan dan majikan perlu melihat kepada kaedah meningkatkan taraf gaji pekerja melalui peningkatan produktiviti. Majikan boleh menggunakan teknologi atau menambahbaik proses untuk menghasilkan lebih banyak barangan/perkhidmatan dengan bilangan pekerja sama atau kurang; tetapi pekerja kini melakukan kerja yang bernilai lebih tinggi dan wajar dibayar lebih tinggi.

Saya berharap kerajaan dapat meletakkan fokus ke arah meningkatkan taraf gaji pekerja di Malaysia di samping menangani lambakan pekerja asing dalam pasaran buruh tempatan.

Golongan graduan belia dan anak muda perlu diberikan peluang yang adil untuk mendapatkan pekerjaan dengan gaji yang setaraf dalam suasana ekonomi yang mencabar kini.

Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia dan Anggota Parlimen Johor Bahru

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73204

Posted by on Feb 27 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE