Perutusan Tahun Baru Cina 2019

Menurut mitos dan lagenda masyarakat Cina dahulu kala, wujud seekor binatang buas bernama Nian yang mengerikan akan muncul setiap tahun pada malam Tahun Baru yang memangsakan kanak-kanak dan orang kampung. Dan mereka akan bersembunyi sambil berdoa mereka dijauhkan dari makhluk tersebut.

Namun, kelemahan makhluk itu dapat dikesan apabila ia amat takut dengan bunyi yang bingit dan warna merah. Sebagai usaha untuk menghalau binatang buas tersebut, lalu dipasang kain rentang merah dan dibakar mercun. Peristiwa itu diberi nama ‘Guo Nian’, bermaksud ‘melewati tahun itu’ dan disambut dengan membakar mercun dan menandakan permulaan baharu setelah musim sejuk yang getir.

Dalam konteks jamak budaya di Malaysia, perayaan ini sangat signifikan kerana masyarakat Cina adalah masyarakat kedua terbesar di Malaysia selepas masyarakat Melayu dan India. Adalah diharapkan juga ia disambut dengan lebih meriah bersama keluarga dan sanak saudara, selain menyambutnya bersama jiran-jiran yang terdiri daripada kalangan Melayu, India, Iban, Kadazan dan lain-lain.

Kita yang mengimpikan sebuah negara yang berukun dan hormat menghormati antara satu dengan yang lain, tidak akan tercapai dengan berpecah-belah dan syak wasangka antara satu dengan yang lain. Ia adalah sikap usang yang tidak akan membawa Malaysia ke mana-mana selain kehancuran dan kekacauan. Terus perkukuhkan kerencaman yang telah lama wujud ini, kerana ia adalah sumber kekuatan kita dalam membina jati diri bangsa ini. Abaikan suara-suara sumbang yang mengajak kepada kebencian dan kacau bilau, dan saya yakin negara ini akan terus aman dan sejahtera.

Mewakili pimpinan dan anggota KEADILAN, saya mengucapkan Xin Nian Kuai Le dan Gong Xi Fa Cai kepada semua rakyat berketurunan Cina di Malaysia. Jadikan Tahun Baru ini sebagai permulaan baharu Malaysia dalam membina jatidiri bangsa yang lebih ampuh dan bersatu padu, hormat menghormati, yang menolak faham perkauman dan bencikan ketidakadilan. Hidupkan Tahun Baru ini dengan semangat jitu membawa perubahan yang bermakna buat semua.

Anwar Ibrahim

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72887

Posted by on Feb 4 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE