Peserta kayuh untuk perubahan serah memo kepada MB N Sembilan

KUALA LUMPUR 11 Dis: Seramai 20 peserta program ‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0′ anjuran NGO Jeritan Rakyat Tertindas (Jerit) tiba di Wisma Negeri, Seremban semalam bagi menyerahkan memorandum tujuh tuntutan kepada Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hassan.

Mohamad menerima memorandum berkenaan menerusi Setiausaha sulitnya, Shahrul Faizal. Ia turut diterima Ketua Pembangkang Negeri Sembilan, Anthony Loke.

Sebelum itu, pintu pagar pejabat MB Negeri Sembilan yang masih terbuka, ditutup serta merta sebaik para pengayuh sampai.

Antara pimpinan yang hadir memberi sokongan adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Port Dickson, M Ravi, Teo Kok Seong (Bahau), P Gunasegaran (Senawang) dan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia, S Arutchelvam.

“Peserta bertolak dari Seremban Jaya pada jam 10.45 pagi dan sampai ke Wisma Negeri pada jam 11.40 pagi. Dalam perjalanan, kami turut edar risalah di bandar Seremban,” kata Koordinator Jerit, R Thevarajan ketika dihubungi.

“Tiada peserta cedera atau diganggu sepanjang perjalanan, cuma ramai ‘SB’ (polis cawangan khas) yang ikut kami,” katanya yang turut menyertai program empat hari itu.

‘Rakyat Pengayuh Perubahan 2.0′ bermula pada 7 Disember lalu di Pasar Besar Senawang dengan penyertaan 100 pengayuh dan dirasmikan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), Dr Nasir Hashim.

Ia bertujuan menyampaikan tujuh tuntutan, antaranya pilihan raya bersih dan adil, hentikan pemusnahan alam sekitar, perumahan selesa untuk rakyat, hak bersuara dan berhimpun secara aman serta perlindungan hak dan kebajikan pekerja.

Peserta melalui tujuh daerah utama Negeri Sembilan dan berhenti di 23 lokasi untuk bertemu penduduk setempat. Antara lokasi dipilih adalah Felda Raja Alias 2 Serting, Taman Koperasi Pedas dan Ladang Juasseh, Kuala Pilah.

Selain mendengar keluhan penduduk setempat, peserta turut mengedarkan risalah dan mengumpul tandatangan untuk disertakan bersama memorandum tuntutan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40988

Posted by on Dec 11 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google