Petronas tanggung RM21 bilion kerugian dari perjanjian IPP-Rafizi

KUALA LUMPUR: Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa kerajaan mengkaji semula keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan tenaga di negara ini supaya berlaku adil kepada rakyat.

Menurut beliau, selepas menjadikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai kambing hitam oleh kerajaan, Petronas pula terpaksa menanggung bebanan sehingga RM21 bilion setiap tahun.

“Untuk berlaku adil, keseluruhan industri penjanaan dan pembekalan elektrik perlu dikaji. TNB dipaksa menandatangani perjanjian membeli elektrik dari penjana bebas pada kadar yang tinggi. Lebih dari separuh kos TNB adalah untuk membayar Syarikat Pengeluar Tenaga Bebas (IPP). Yang dimarahi rakyat adalah TNB kerana TNB yang menjadi kambing hitam dan budak jahat.

“Lebih teruk, apabila perjanjian itu juga menyebut kalau ada sebarang kenaikan kos bahan api (gas, arang batu), IPP ini tidak perlu menanggungnya.

“Akibatnya Petronas pula yang terpaksa menanggung sehingga berjumlah RM21 bilion setiap tahun berdasarkan anggaran terbaru kita,” kata Rafizi yang juga bekas Pengurus kanan di Petronas.

Untuk rekod, TNB dipaksa membeli tenaga daripada IPP dengan harga mahal.

Petronas pula diarah menjual gas pada kadar lebih murah daripada harga pasaran kepada IPP biar pun mereka membeli pada harga yang lebih tinggi daripada Indonesia dan kawasan JDA Malaysia-Thailand.

Rafizi baru-baru ini mendakwa Petronas terpaksa membeli setong minyak dengan harga RM40 dan dijual pula kepada IPP dengan harga RM10.

Katanya, ekoran keresahan Barisan Nasional (BN) berhadapan dengan rakyat berhubung kenaikan tarif elektrik, mereka terpaksa menenangkan rakyat kononnya kerajaan memotong subsidi korporat.

“Bila rakyat mula bangkit, BN resah dan mahu menenangkan rakyat dengan menghebahkan kononnya memotong subsidi korporat. Tetapi jalan yang diambil adalah dengan menghukum rakyat, apabila tarif elektrik dinaikkan supaya kenaikan harga bahan api (arang batu dan gas) ditanggung oleh rakyat.

“Ini akan beri kesan kepada harga barang dan melonjakkan lagi kadar inflasi yang sudah tinggi akibat beberapa siri kenaikan harga baik gula, harga petrol, diesel dan lain-lain sejak kebelakangan ini.

“Dalam keadaan gaji rakyat yang tidak naik akibat kegagalan BN mewujudkan agihan kekayaan yang adil, ini akan menyukarkan lagi hidup seharian rakyat,” kata beliau kepada Keadilandaily.com.

Selain itu katanya, kerajaan perlu mengambil inisiatif yang bijak bagi mengelakkan kenaikkan tarif elektrik yang membebankan rakyat.

“Runding dengan IPP supaya caj yang terlampau mahal yang dikenakan kepada TNB atas elektrik yang dijual dikurangkan, kerana caj yang terlalu tinggi hingga memberi keuntungan besar dan berat sebelah inilah yang menyebabkan tarif elektrik di Malaysia tinggi.

“Apabila caj dari IPP ini dikurangkan, barulah beban kewangan TNB boleh dikurangkan dan subsidi bahan api (gas dan arang batu) boleh dikurangkan agar wang boleh digunakan untuk tujuan lain sementara tarif lektrik dikekalkan kerana penjimatan dari caj IPP yang lebih rendah boleh digunakan untuk menampung kenaikan kos bahan api,” kata beliau.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=14377

Posted by on May 30 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google