Pilih Dr Streram, tolak politik kaum

Oleh AKMAL NASIR

Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau merupakan PRK yang ketujuh selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) Mei lalu, yang menyaksikan gabungan Pakatan Harapan mengambil alih tampuk pemerintahan negara buat pertama kali daripada Barisan Nasional (BN) selepas 61 tahun.

Berdasarkan rekod PRK sebelum ini, Harapan memenangi empat PRK yang terawal iaitu DUN Sungai Kandis, Balakong dan Seri Setia dan Parlimen Port Dickson. Kekalahan Harapan yang pertama dalam PRK telah dicatatkan di kerusi Parlimen Cameron Highlands diikuti dengan DUN Semenyih bulan lalu.

PRK DUN Rantau merupakan PRK yang keempat yang melibatkan calon daripada KEADILAN. Setelah perbincangan antara parti komponen Harapan dan juga dalam KEADILAN sendiri, Presiden KEADILAN, Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa Dr Streram diletakkan sekali lagi sebagai calon wakil rakyat Harapan di DUN Rantau.

Usaha Dr Stream selama ini bagi mencabar keputusan SPR dalam PRU yang lepas telah membuahkan hasil apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa kemenangan Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan (atau dikenali dengan Tok Mat) di kerusi DUN Rantau sebagai terbatal dan tidak sah.

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan kemenangan Tok Mat di DUN Rantau. Ini kerana jelas sekali berlakunya ketidakadilan terhadap Dr Streram pada PRU yang lalu di mana beliau dihalang masuk ke pusat pengundian lalu menyebabkan beliau kehilangan kelayakan bertanding.

PRK DUN Rantau memberikan peluang yang adil kepada Dr Streram untuk menawarkan dirinya untuk berkhidmat kepada warga pengundi di kawasan tersebut. Pada masa yang sama, pengundi DUN Rantau juga berperluang untuk memilih wakil rakyat mereka dalam pilihan raya yang akan diadakan secara telus dan bersih pada 13 April nanti.

Melihat daripada segi politik, memang diakui Tok Mat merupakan nama yang besar dalam arena politik negara khusunya di Negeri Sembilan. Beliau sering digambarkan sebagai seorang yang berjiwa rakyat dan popular dalam kalangan masyarakat di Negeri Sembilan. Statusnya sebagai bekas menteri besar Negeri Sembilan meletakkan beliau sebagai “favourite” untuk memenangi PRK kali ini.

Namun begitu, jika dirujuk kepada statistik data pengundi DUN Rantau, AMK yakin Dr Streram mampu merampas kerusi ini daripada Tok Mat berbekalkan strategi kempen yang kemas dan tersusun.

1. Pecahan pengudi Melayu dan bukan Melayu

Berdasarkan data pengundi yang dikeluarkan, 56 peratus adalah terdiri daripada pengundi Melayu manakala 44 peratus terdiri daripada bukan Melayu (26 peratus India, dan 18 peratus Cina). Oleh yang demikian, AMK yakin bahawa peletakan Dr Streram sebagai calon merupakan strategi yang tepat bagi mencabar kedudukan Tok Mat di Rantau.

Rekod PRU14 menunjukkan bahawa Harapan mendapat sokongan yang tinggi dalam kalangan undi bukan Melayu (hampir 90 peratus) serta berjaya menarik undi Melayu sehingga 25 peratus. Namun begitu, memang diakui bahawa sokongan pengundi Melayu terhadap Harapan telah sedikit merudum beberapa bulan sejak PRU14.

Oleh sebab itu, AMK merangka beberapa program bagi merapatkan hubungan antara calon Harapan dengan kumpulan pengundi Melayu di DUN Rantau khususnya di kawasan-kawasan majoriti Melayu. AMK yakin Harapan hanya memerlukan jumlah sokongan pengundi Melayu sekitar 15 hingga 20 peratus bagi memastikan kemenangan calon Harapan.

Aktiviti-aktiviti berskala kecil seperti ceramah kelompok, gotong-royong dan lawatan-lawatan ke pusat tumpuan seperti pasar malam membolehkan pengundi berasa lebih dekat dengan calon wakil rakyat Harapan, Dr Streram.

2. Pembangunan sosioekonomi semua kaum kekal menjadi teras utama Harapan

Strategi BN untuk memainkan isu sentimen kaum dan agama memang sudah menjadi amalan sejak dahulu lagi. Harapan seharusnya tidak terikut-ikut dengan alunan perkauman yang dimainkan oleh pihak pembangkang. Sebaliknya, pembangunan ekonomi masyarakat setempat perlu terus menjadi agenda pembaharuan yang ingin dibawa oleh Harapan di DUN Rantau.

AMK berusaha keras dalam menyampaikan maklumat mengenai skim-skim bantuan yang mampu meringkankan beban rakyat yang disediakan oleh kerajaan pusat mahupun negeri. Contohnya seperti skim kesihatan MySalam, Bantuan Sara Hidup (BSH), program Food Bank dan sebagainya disampaikan melalui penyebaran risalah-risalah dan kempen media sosial.

Pemilihan Dr Streram sebagai wakil rakyat di Rantau akan membolehkan kerjasama yang lebih erat dengan kerajaan negeri bagi pembangunan infrastruktur dan ekonomi di Rantau. Latar belakang Dr Streram yang pernah terlibat dalam misi-misi sukarelawan dan kemanusiaan antarabangsa menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang sedia untuk berkhidmat demi kesejahteraan orang awam dan masyarakat.

3. Menjadi pemimpin perlu telus dan amanah

AMK melihat bahawa keengganan Tok Mat untuk mengisytiharkan hartanya sebagai tidak berlaku jujur dan amanah terhadap pengundi di DUN Rantau. Jika Tok Mat mentadbir Negeri Sembilan dengan bersih dan amanah, beliau seharusnya tidak perlu takut untuk berbuat demikian.

Untuk pengetahuan, Dr Streram sudahpun mengisytiharkan hartanya sejak sebelum PRU14 lagi ketika beliau berkempen bersama-sama Invoke Malaysia. Ini memberikan contoh seorang pemimpin yang bersih yang perlu dipilih oleh pengundi Rantau.

Sudah terlalu banyak kerosakan dan penyelewangan yang telah dilakukan oleh kerajaan terdahulu. Tok Mat yang pernah menjadi sebahagain daripada barisan kepimpinan Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar di dunia sepatutnya membuktikan bahawa kepimpinan beliau adalah berbeza dan bebas daripada amalan rasuah dan penyelewengan.

Oleh yang demikian, AMK yakin Dr Streram mempunyai peluang yang baik bagi merampas kerusi DUN Rantau. AMK bersama Pemuda Harapan akan turun berkempen bersama seluruh jentera Harapan setiap hari sehingga hari pengundian bagi menarik sokongan pengundi khususnya di daerah-daerah mengundi marginal seperti di Linsun, Angsamas dan Kg Mambau.

Pada masa yang sama, AMK turut komited dalam memastikan bahawa proses demokrasi dapat terus berjalan dengan baik tanpa sebarang campur tangan dan penyalahgunaan kuasa di PRK DUN Rantau kali ini.
Penulis adalah Ketua Angkatan Muda KEADILAN (AMK) dan Anggota Parlimen Johor Bahru.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73292

Posted by on Apr 11 2019. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE