PRK Semenyih pertandingan 4 penjuru

Calon Pakatan Harapan, Muhammad Aiman Zainali dicabar tiga calon lain dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih yang akan diadakan pada 2 Mac ini.

Perkara tersebut diketahui selepas Pegawai Pengurus PRK Semenyih, Datuk Mohd Sayuthi Bakar mengumumkan nama-nama calon selepas proses penamaan ditutup pada pagi ini.

“Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima empat kertas penamaan calon bagi kerusi N24 Semenyih, Selangor.

“Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan calon dan selepas  selesai disemak, saya berpuas hati dan tiada calon-calon yang ditolak kertas penamaannya,” kata Sayuthi semasa mengumumkan nama-nama calon PRK Semenyih di Dewan Seri Cempaka Majlis Perbandaran Kajang pagi ini.

Muhammad Aiman, adalah seorang jurutera yang sedang menamatkan pengajian peringkat doktor falsafah di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM).

Beliau juga merupakan menantu kepada bekas ADUN Semenyih Bakhtiar Mohd Nor yang meninggal pada 11 Januari lepas akibat serangan jantung.

Barisan Nasional diwakili Zakaria Hanafi, bekas Penolong Pegawai Tadbir Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dua lagi calon adalah dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) iaitu Nik Aziz Afiq Abdul dan aktivis sosial Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai “Uncle Kentang” yang bertanding atas tiket bebas.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72938

Posted by on Feb 16 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE