PRU 14: Ramalan bulan Mei, Pakatan Harapan sedia kejutan

(Oleh Redzuan Shamsudin)

Tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke 14 walaupun kekal menjadi teka-teki namun mula diramal secara serius oleh kebanyakan penganalisis politik.

Tanda-tanda awal tetapi pasti PRU akan diadakan pada tahun ini mula muncul satu persatu dan para ahli politik melihatnya sebagai petanda besar dan bukan picisan seperti sebelumnya. Salah satu yang paling menyerlah adalah pembentangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) dan perancangan BN yang diakui Presiden MIC, Dr S. Subramaniam bahawa RUU itu dibenarkan dibentang tetapi tidak akan diundi.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Pandikar Amin Mulia menuruti 100% skrip tersebut. Naratif RUU 355 penting kepada Umno sebagai modal kempen PRU, kononnya parti itu telah mengotakan janji kepada orang Melayu bahawa mereka memberi laluan pembentangan undang-undang Islam yang lebih tegas.

PM kaum Cina?

Kedua, munculnya kempen media bertali arus mentohmahkan supremo DAP Lim Kit Siang bercita-cita ingin menjadi perdana menteri. Walaupun hal itu tidak logik dan berkali-kali dinafikan oleh DAP dan Kit Siang sendiri namun fitnah tetap diteruskan.

Tidak masuk akal DAP yang bertanding kira-kira 51 daripada 222 kerusi parlimen akan mencalonkan seorang Cina sebagai PM. Begitu juga sama mengarutnya parti itu akan menjadikan puluhan ahli parlimen Melayu dalam Pakatan Harapan sebagai boneka mereka.

Bagaimanapun hujah tidak logik itu saban hari dipantakkan ke dalam minda Melayu menerusi media-media arus perdana yang dikuasai BN.

Dua petanda besar itu membuat ranumnya teori PRU akan diadakan dalam masa terdekat, atau paling jauh selepas Sukan SEA di Kuala Lumpur pada Ogos ini. Teori yang semakin kerap berlegar dalam kalangan penggamat politik adalah pembubaran parlimen mungkin akan berlaku pada hari Jumaat dalam bulan April. PRU pula akan diadakan pada awal Mei. Iaitu tarikh yang hampir sama seperti PRU 13 lalu.

Bagaimanapun, terdapat kelompok yang tidak bersetuju dengan pendapat sedemikian. Kelompok penganalisis politik ini memberi amaran, BN walaupun boleh memecahkan undi Melayu kerana Pas akan bertanding secara tiga penjuru melawan Pakatan Harapan (Harapan) dan BN; kos sara hidup yang melambung, kekurangan peluang pekerjaan dan skandal 1Malaysia Development Berhad yang terkait dengan Najib siap sedia meletup membentuk gelombang penentangan besar-besaran rakyat.

Bagi mereka, BN perlu meneutralkan kemarahan rakyat terlebih dahulu sebelum mempercayai penyokong Pas akan menjadi perosak undi kepada gabungan pembangkang. Najib mempunyai puluhan penasihat dan mustahil mereka tidak membisikkan ke telinganya amarah rakyat dalam PRU 2008 yang melaungkan slogan ‘Asal Bukan Umno’ menguburkan BN di lima negeri.

Bagi penganalisis politik mazhab ini, tanda-tanda besar positif di pihak BN belum kelihatan. Apatah lagi gabungan pemerintah menerima serangan hebat daripada Parti Peribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang dipimpin legenda politik negara Tun Mahathir. Swing sokongan ahli Umno kepada Bersatu akan mengakibatkan undi penyokong Pas tidak bermakna kepada Najib.

Jika pun pembangkang gagal mendapat cukup kerusi untuk membentuk kerajaan baharu tetapi mereka dijangka menambah kerusi di kawasan Melayu dan mengekalkan jumlah kerusi sedia dimenangi dalam PRU 13.

pakatan-harapan-bersatu-1Hal itu, menurut penganalisis amat berbahaya kepada kelangsungan kerajaan BN. Kelebihan 15 atau 20 kerusi parlimen bagi mereka tidak sama kuat sebagaimana kelebihan 42 kerusi selepas PRU 13. Tambahan lagi, Najib akan diasak oleh Pas untuk mengotakan janjinya meluluskan Akta 355 di parlimen.

Tentangan daripada MIC, MCA dan Gerakan boleh dikesampingkan oleh Najib tetapi bagaimakah kedudukannya dengan tentangan dari ahli parlimen Malaysia Timur? Terdapat 47 ahli parlimen BN yang bila-bila masa boleh memeluk bekas bos mereka Tun Mahathir.

Peralihan sokongan yang gagal dilakukan oleh Ketua Umum KEADILAN saudara Anwar Ibrahim pada 16 September 2008 untuk membentuk kerajaan persekutuan baharu akan dengan mudah boleh berlaku selepas beberapa bulan PRU 14.

Namun terlepas daripada andaian tarikh PRU, penganalisis politik melihat pembangkang yang diremehkan kali ini mampu membuat kejutan. Terdapat tanda-tanda rejim Najib berasa selesa dengan sokongan Pas dan kerja-kerja parti itu mencaci DAP dari pelbagai sudut.

Keputusan mengejut

Situasi berkenaan mungkin sama seperti tiga bulan sebelum PRU 2008 apabila BN memandang enteng cabaran yang dibawa oleh Anwar dalam kempennya ke seluruh negara. Namun selepas tarikh pengundian 8 Mac, BN dikejutkan dengan kejatuhan beberapa negeri ke tangan pembangkang ketika itu.

Penganalisis memberi amaran Bersatu sengaja menyembunyikan kuku. Parti ini tidak memiliki media sendiri walaupun pemimpinnya sangat mampu berbuat demikian. Mereka juga sengaja tidak mengisytiharkan jumlah ahli yang banyak walaupun setiap program ceramah Bersatu mampu menghimpunkan ribuan ahli Umno dan penyokong atas pagar.

Bagi mereka Bersatu akan memberi cabaran dari sudut yang tidak terduga di tengah-tengah kelemahan Parti Amanah Negara yang sedaya upaya mengumpul undi penyokong Pas dan kelemahan KEADILAN berikutan pemenjaraan Anwar Ibrahim.

PRU 14 dijangkakan tidak menyaksikan kempen besar-besaran dari pembangkang tetapi menghadapi situasi rakyat yang telah muak dengan BN, keputusannya pasti ‘berbeza’ selepas hari mengundi.

* Redzuan merupakan Pengarang Bersekutu Suara Keadilan, akhbar organ parti KEADILAN.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=69876

Posted by on Apr 18 2017. Filed under NASIONAL, RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE