PTPTN batal jika Pakatan tawan Putrajaya – Anwar

(Oleh: Masdar Wahid)

PORT DICKSON 23 Mac: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan dibatalkan jika Pakatan Rakyat diberi mandat sebagai Kerajaan Persekutuan baru pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, kata Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pembatalan itu katanya selaras dengan agenda Negara Berkebajikan Pakatan Rakyat untuk memberikan pendidikan percuma kepada rakyat  dari peringkat rendah hingga ke universiti.

“Semasa saya menjadi Timbalan Perdana Menteri (TPM), keuntungan Petronas RM30 bilion tapi ada biasiswa dan dermasiswa. Sekarang, untung Petronas, lebih RM90 bilion, tapi pelajar kita, baru masuk belajar, sudah berhutang. Belum kerja dah kena kejar hutang.

“Kalau kita diberi mandat memerintah Malaysia, saya beri jaminan, PTPTN akan kita batalkan,” katanya pada majlis ceramah Pakatan Rakyat di Lukut, Negeri Sembilan, 22 Mac lalu.

Beliau menegaskan, apabila harga minyak turun, secara automatik rakyat mempunyai lebihan wang untuk dibelanjakan.

“Apa jadi kalau harga minyak turun, pengangkutan awam juga akan turun, harga makan akan turun dan harga barang akan turun.

“Saya beri jaminan harga minyak boleh diturunkan, saya Menteri Kewangan lapan tahun, saya tahu caranya,” katanya yang menjawat jawatan itu sejak 1991 sebelum dipecat pada 1998.

Beliau turut menempelak Datuk Seri Najib Razak dan Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengatakan pelaksanaan gaji minima akan membankrapkan negara.

“Kalau tidak mampu laksana gaji minima, sila berundur kerana kami beri jaminan gaji minima RM1,100 akan dilaksana jika kita diberi mandat memerintah. “Malaysia ini negara kaya dan ada macam-macam sumber hasil, kita yakin dasar ini boleh dibuat,” tegasnya.

Beliau memberi contoh Selangor yang diperintah Pakatan Rakyat bukan sahaja berjanji malah berjaya melaksanakan dasar gaji minima sejak Januari lalu dengan permulaannya kepada syarikat kerajaan negeri.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, Mohd Taufek Abdul Ghani, Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri, Datuk Kamarul Bahrin Abbas dan pimpinan Pakatan Rakyat dari pelbagai peringkat.

Ceramah yang berlangsung kira-kira tiga jam itu menyaksikan ratusan kenderaan memenuhi perkarangan kawasan tanah lapang itu kira-kira satu kilometer.

Dua stesyen minyak berhampiran turut menjadi medan tempat meletak kenderaan orang ramai ekoran kawasan sesak dan padat dengan kehadiran ribuan rakyat malam itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=28518

Posted by on Mar 23 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE