Putrajaya bakal tubuhkan Majlis Tahfiz Negara

Kerajaan akan menubuhkan Majlis Tahfiz Negara bermula tahun depan bagi menyelaras dan mengawal selia sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dengan kerajaan negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Fuziah Salleh sewaktu mengumumkan perkara itu di Dewan Rakyat berkata kerajaan akan meminda Seksyen 97 Akta 505 Pentadbiran Undang-Undang Islam 1993 (Wilayah Persekutuan) bagi tujuan itu.

Katanya, pindaan itu akan memperluaskan kuasa Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dalam  menyelia sekolah agama Islam.

“Ketika ini, kita baru ada Dasar Pendidikan Tahfiz Negara yang dibawa kerajaan terdahulu dan sebagai langkah ke hadapan, kita akan mewujudkan Majlis Tahfiz Negara awal tahun depan. 

“Majlis ini akan menyelaras semua sekolah tahfiz swasta yang berdaftar dan kita menyarankan semua sekolah tahfiz untuk berdaftar dengan MAIN.

“Kewujudan majlis ini bukan saja akan membolehkan kerajaan menjamin tahap keselamatan institusi tahfiz, tetapi juga menaik taraf aspek pensijilan dan penarafan sekolah tahfiz swasta.

“Pindaan undang-undang itu turut bertujuan memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama Islam kerana ketika ini, sekolah tahfiz tidak termasuk dalam kategori terbabit.

“Dalam hal ini, kita berharap kerajaan negeri akan meminda enakmen kawalan sekolah agama untuk memasukkan definisi sekolah tahfiz sebagai sekolah agama,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini, lapor Berita Harian.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (BN UMNO-Bera) sama ada kerajaan akan meneruskan dasar membangunkan pusat tahfiz di seluruh negara bagi menjamin masa depan pelajarnya.

Fuziah berkata, penubuhan majlis itu selari penggubalan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara berpandukan lima teras, iaitu memantapkan aspek undang-undang dan penguatkuasaan, selain memperkenalkan modul institusi yang diiktiraf.

Katanya, ia termasuk memantapkan kurikulum institusi tahfiz supaya sesuai dengan pendidikan arus perdana, memperkasa urus tadbir institusi tahfiz dan mewujudkan sistem pengiktirafan serta pensijilan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72634

Posted by on Nov 28 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE