Putrajaya tumpu pemodenan bekalan makanan

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata kerajaan akan terus memberi tumpuan untuk mempercepatkan proses pemodenan bekalan makanan negara menerusi Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurutnya, langkah itu akan dilaksanakan menerusi Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0) dari 2021 hingga 2030.

“DAN 2.0 akan melaksanakan pelbagai inisiatif dan hala tuju baharu dalam tempoh 10 tahun seperti membangunkan input pertanian dalam semua subsektor agro makanan, menjadikan negara sebagai pengeluar utama buah tropika di peringkat dunia dan memantapkan perkhidmatan pengembangan seiring dengan perkembangan teknologi terkini.

“DAN 2.0 juga akan menambah baik aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan kepelbagaian baharu yang tahan perubahan iklim dan mampu mengeluarkan hasil yang tinggi.

“Selain daripada memperkukuhkan sistem kawalan, pemantauan dan pengawasan (MCS) dalam subsektor perikanan, penekanan khusus turut diberikan dalam subsektor industri asas tani dan keusahawanan agro seperti agro-kulinari dan agro-pelancongan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan 2019 (HPPNK 2019) di Johor Bahru pada 28 November.

Turut hadir adalah Menteri Besar Johor, Dr Sahruddin Jamal dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Dr Wan Azizah berkata, pembangunan bekalan makanan negara akan dibuat selaras dengan tema Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 2030 iaitu ‘Leaving No One Behind’.

HPPNK 2019 dengan tema Makanan Kita Masa Depan Kita berlangsung selama empat hari bermula 28 November sehingga 1 Disember.

Ia menampilkan 350 usahawan terdiri daripada peladang, penternak dan nelayan dari seluruh negara.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74371

Posted by on Nov 29 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE