Rafizi: 200 penjawat awam jaga Najib, Rosmah

Naib Presiden KEADILAN Rafizi Ramli semalam mendedahkan punca sebenar jumlah anggota perkhidmatan awam yang terlalu ramai tetapi masih tidak sepadan dengan mutu perkhidmatan yang diterima rakyat.

Menurut Ahli Parlimen Pandan itu, kajian beliau mendapati bilangan penjawat awam yang berlebihan itu berlaku kerana ramai yang diambil bekerja untuk menteri dan bukannya untuk menyampaikan khidmat kepada orang ramai.

“Masalah sebenar ialah terlalu banyak kakitangan awam yang ditanggung oleh rakyat yang sebenarnya tidak berkhidmat untuk rakyat, tetapi berkhidmat untuk ahli politik yang menjadi menteri atau menguasai badan kerajaan atas lantikan politik,” kata Rafizi dalam sidang medianya semalam.

Rafizi berkata jumlah terkini kakitangan bagi 33 orang menteri ialah seramai 607 orang dengan perdana menteri dan isterinya sahaja mempunyai 200 orang kakitangan.

“Pakatan Harapan akan mengecilkan saiz jemaah menteri kepada sekitar 20 orang sahaja dengan menstrukturkan kembali kementerian-kementerian supaya tidak bertindih. Secara langsung, ini akan mengurang jumlah gaji yang perlu dibayar dan jumlah kakitangan awam yang diperuntukkan kepada menteri,” katanya.

Beliau berkata Harapan juga akan mengurangkan jumlah penjawat awam yang diambil bekerja melalui lantikan politik atau dalam perkhidmatan, bagi menteri dan timbalan menteri.

“Saya percaya kakitangan awam untuk perdana menteri mestilah dikurangkan kepada 70 orang sahaja daripada jumlah 200 sekarang.

“(Bagi) timbalan perdana menteri dikurangkan kepada 30 orang sahaja daripada jumlah 77 orang sekarang, dan menteri-menteri dikurangkan kepada 6 orang sahaja dari purata 10 orang sekarang.”

Kakitangan lebihan akan ditugaskan semula ke tugas baru, kata Rafizi.

“Tugasan baru itu mestilah perkhidmatan yang berurusan secara langsung dengan rakyat,” kata Rafizi lagi.

Rafizi juga berikrar untuk membuat pendedahan lanjut dalam masa terdekat tentang pengurangan manfaat kewangan dan perkhidmatan kakitangan awam sejak Najib menjadi perdana menteri.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70612

Posted by on Oct 6 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE