Rafizi gesa Tabung Haji diaudit

Pemimpin KEADILAN Rafizi Ramli menggesa Putrajaya untuk menubuhkan satu pasukan bebas untuk mengaudit operasi pengendalian ibadah haji bagi memastikan tidak ada unsur rasuah, penyelewengan, atau komisen.

Menerusi kenyataan di Facebook, bekas anggota Parlimen Pandan itu berkata ia juga bagi memastikan kos haji yang dibayar setiap jemaah adalah kos sebenar dan tidak termasuk unsur-unsur keuntungan yang tidak patut yang diwarisi dari pengurusan dahulu.

“Saya suka mengingatkan pengurusan Tabung Haji dan kerajaan Pakatan Harapan bahawa tindakan yang bertanggungjawab mestilah melibatkan penelitian ke atas setiap kos yang terbabit di dalam pengendalian operasi haji.

“Apakah tiket penerbangan benar-benar harga yang terbaik? Apakah kos penginapan di Makkah telah dirunding dengan terbaik? Apakah semua kos lain yang ditanggung dan dikenakan ke atas jemaah haji memberi nilai terbaik?” soalnya.

Dalam kenyataan sama, Rafizi turut menyatakan kebimbangannya jika institusi itu menaikkan harga pakej haji bagi menampung kerugian yang ditinggalkan pentadbiran dahulu.

“Sekarang ini, bagi setiap RM1 hutang yang ditanggung Tabung Haji, nilai aset yang ada (dan boleh dilupuskan, jika perlu) untuk membayar hutang-hutang itu hanyalah 80 sen.

“Maksudnya, Tabung Haji tidak berkemampuan untuk membayar hutang-hutangnya sekarang,” katanya.

Rafizi turut menggariskan beberapa perkara yang mungkin berlaku dalam pengagihan keuntungan institusi itu selepas ini.

“Secara undang-undang, Tabung Haji tidak boleh mengisytiharkan dividen. Kesannya besar – yang kurang kaya dan menabung, mereka menunggu lebih lama untuk mencukupkan simpanan untuk ke Makkah, kerana tiada lagi keuntungan atas simpanan mereka.

“Kesan yang lebih besar ialah apabila penabung yang kaya mengeluarkan simpanan mereka kerana mereka tidak mendapat keuntungan dari menabung di Tabung Haji. Ini akan menyebabkan kedudukan kewangan Tabung Haji makin parah, tidak ubah seperti “ibarat sudah jatuh ditimpa tangga”.

“(Selain itu) Tabung Haji terpaksa mencatatkan keuntungan dari operasi yang lebih tinggi untuk menutup penyelewengan di masa lalu. Ada dua cara meningkatkan keuntungan – sama ada memotong kos operasi atau menaikkan harga pakej haji,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72662

Posted by on Dec 6 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE