Rafizi: Hentikan kutipan cukai tersembunyi seperti IMAMS

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli menggesa Putrajaya agar menghentikan cubaan mengutip cukai secara tersembunyi daripada orang ramai seperti yang cuba dilakukan menerusi Sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS).

Menurutnya, langkah sama dilakukan kerajaan menerusi pengenalan ‘Passenger Screening Charge’ (PSC) yang lebih tinggi di lapangan terbang KLIA2 serta bayaran tambahan sebanyak RM35 yang dikenakan untuk ‘Advance Passenger Screening System’ (APSS) bagi mencegah keganasan.

Katanya, cubaan ini dilakukan sewaktu Putrajaya tanpa segan silu membelanjakan RM37 juta untuk Expo Negaraku yang bertujuan semata-mata mencanangkan tanggungjawab yang sudah dilaksanakan kerajaan.

“Jika Putrajaya ada RM37 juta untuk menganjurkan pameran, kenapa pula Putrajaya perlu mengutip cukai tersembunyi melalui IMAMS, PSC dan selepas ini cukai APSS untuk menjalankan tugas yang memang tugas Kerajaan Persekutuan?

“Saya suka mengingatkan rakyat Malaysia bahawa jika BN menang sekali lagi dalam pilihan raya umum ke-14, bukan sahaja GST (cukai barangan dan perkhidmatan) akan naik dan lebih banyak denda cukai pendapatan akan dikenakan, ada kemungkinan besar cukai-cukai seperti IMAMS, PSC, APSS dan segala jenis cukai tersembunyi akan terus diperkenalkan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya lagi, jika kerajaan benar-benar ikhlas untuk mengatasi masalah penipuan pakej umrah, ia sepatutnya dilakukan menerusi jabatan-jabatan kerajaan sedia.

Namun, perkara yang berlaku sekarang adalah syarikat swasta dilantik untuk mengutip cukai dan menutup kekurangan kerajaan.

“Pengenalan IMAMS yang terpaksa dibatalkan dalam tempoh kurang 48 jam sebenarnya berpunca dari kegagalan pihak berkuasa mengawal selia ejen-ejen pakej umrah sehingga menyebabkan ada orang ramai yang tertipu.

“Lebih teruk lagi, ada juga penipuan pakej umrah ini yang melibatkan pertubuhan yang ada kaitan dengan pentadbiran Umno sendiri.

“Sepatutnya ini merangsang pentadbiran Datuk Seri Najib untuk segera mengambil tindakan melalui jabatan-jabatan sedia ada di bawah bidang kuasa beliau sendiri seperti JAKIM dan Tabung Haji untuk mengelakkan penipuan pakej umrah,” katanya.

IMAMS diperkenalkan Kementerian Pelancongan sebagai satu kaedah tunggal bagi menguruskan permohonan visa dari Kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk jemaah umrah.

Ia diwajibkan ke atas 65 agensi pelancongan berstatus muassasah yang mempunyai Lesen Khas Umrah (LKU).

Sebuah syarikat – Imams Sdn Bhd – ditubuhkan untuk mengutip bayaran sebanyak RM90.10 ke atas setiap seorang jemaah.

Langkah tersebut didakwa dapat mengatasi masalah penipuan syarikat pengendali umrah yang berleluasa sekarang ini.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70878

Posted by on Dec 18 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE