Rafizi: Pemakaian tudung tiada kaitan prestasi kerja

Ahli Parlimen Pandan Rafizi Ramli bercadang untuk mendesak agar satu akta untuk menangani diskriminasi kerja dibentangkan di Dewan Rakyat.

Hasrat itu dinyatakannya susulan kejadian sebuah hotel yang melarang pekerja kaunter depannya bertudung.

“Saya akan terus berkempen supaya satu undang-undang yang menjamin keadilan kepada semua pekerja dikuatkuasakan dengan harapan sebarang tindakan yang tidak membenarkan seorang pekerja memakai tudung dikenakan hukuman yang setimpal kerana telah mendiskriminasi seorang pekerja atas sebab agama.

“Saya akan mengedarkan kertas cadangan akta ini kepada ahli-ahli Parlimen yang sedang bersidang dari semua parti untuk mendapat sokongan mereka dalam tempoh seminggu.

“Jika ada sokongan ramai ahli Parlimen yang merentasi parti dan kaum, saya percaya ia perlu diangkat oleh Menteri Sumber Manusia untuk dijadikan asas sebuah undang-undang dan dibentangkan di Parlimen secepat mungkin,” kata Naib Presiden KEADILAN itu.

Menurut Rafizi, beliau telah pun memperincikan pandangan berkaitan akta itu dalam bukunya bertajuk Panduan Bina Semula Negara.

Akta yang pada masa ini dicadang untuk dinamakan Akta Keadilan Peluang Kerja dan Kerjaya itu akan memastikan diskriminasi secara langsung atau tidak langsung diharamkan dan dikenakan hukuman.

Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Uni-MLC) baru-baru ini membangkitkan isu larangan bertudung kepada pekerja kaunter depan hotel yang disifatkan bersifat diskriminasi.

Mereka juga berkata larangan serupa dikenakan terhadap pelajar amali kursus perhotelan dan pelancongan apabila membuat latihan praktikal sewaktu belajar.

Mufti Perlis Datuk Seri Asri Zainul Abidin antara personaliti terawal yang tampil membantah tindakan hotel itu.

Persatuan Hotel Malaysia (MAH) bagaimanapun mempertahankan tindakan hotel itu atas alasan ia adalah sebahagian daripada dasar antarabangsa.

“Saya yakin majoriti rakyat Malaysia dan rakyat dunia amnya tidak menilai khidmat sesebuah hotel semata-mata berdasarkan sama ada kakitangan di kaunter depan hotel itu memakai tudung atau pun tidak.

“Soal boleh memakai tudung atau tidak ini tidak ada kena mengena dengan prestasi kerja, tetapi masih wujud di kalangan segelintir manusia.

“Prejudis sebegini wujud dalam mana-mana agama, mana-mana masyarakat, mana-mana negara,” katanya dalam kenyataan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70771

Posted by on Nov 13 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE