Rafizi tulis ‘surat’ kepada suami Shahrizat Jalil

Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli lewat malam semalam menulis sepucuk warkah terbuka kepada suami Tan Sri Shahrizat Jalil, Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd (NFC) Datuk Seri Mohamad Salleh Ismail.

Surat itu ditulis Ahli Parlimen Pandan itu susulan notis mahkamah terhadapnya yang disiarkan Mohamad Salleh dalam akhbar bagi menuntut bayaran ganti rugi kepadanya dan NFC berjumlah RM306,999.17.

“Semasa saya dan peguam saya berbincang mengenai kepada siapa saya patut menulis cek berjumlah RM306,999.18 itu, saya dinasihatkan untuk menulisnya kepada peguam Datuk Seri yang berbulan-bulan kononnya tidak dapat mencari saya.

“Padahal saya tiap-tiap hari ada buat #liveFB.

“Pusat khidmat saya pun terbuka sepanjang minggu tetapi peguam Datuk Seri ini tidak dapat cari saya seperti mana pihak berkuasa tidak berjaya mencari Jho Low.

“Mungkin sebab muka saya ada iras Cina sedikit dan saya pun tembam-tembam juga, agaknya kerani dari firma peguam Datuk Seri tersalah cari Jho Low!” katanya.

Surat itu ditulis setelah Salleh dilapor menghubungi akhbar Berita Harian dan berkata Rafizi atau peguamnya masih belum menghubunginya berkaitan pembayaran ganti rugi tersebut.

Dalam suratnya itu, Rafizi juga mengusik Salleh yang menurutnya kelihatan “murung” setiap kali mereka bertemu di mahkamah.

“Saya tak salahkan Datuk Seri kerana bebanan hidup kebelakangan ini sangat menekan. Saya yakin Datuk Seri juga ada terkesan dengan GST (cukai barangan dan perkhidmatan)…,” katanya.

Menjelaskan pembayaran itu, Rafizi berkata beliau sudah menulis cek kesemuanya kepada peguam Salleh dan menyerahkan melalui peguamnya.

“Saya telah meminta peguam saya Siau Sun & Michele untuk berhubung dengan peguam Datuk Seri supaya cek dapat diserahkan secepat mungkin.

“Saya ingat agaknya dengan cara itu juga peguam Datuk Seri boleh belajar kaedah yang lebih mudah untuk menghubungi saya iaitu melalui peguam masing-masing,” katanya.

Rafizi juga berkata cek itu dijangka tiba kepada Salleh menjelang 7 petang esok.

“Saya harap kalau Datuk Seri gembira pun jangan sampai tidur dengan cek itu,” katanya.

Tidak cukup dengan itu, Rafizi juga mengucapkan salam kepada anggota keluarga Salleh.

“Sampaikan salam kepada anak-anak Datuk Seri juga.

“Sampaikan salam hormat dan simpati kepada Datuk Seri Shahrizat Jalil kerana beliau masih terpaksa bekerja pada umur ini walaupun dipencenkan sejak tahun 2008 lagi.

“Namun dalam keadaan serba GST ini, kita boleh bernafas lega sedikit kalau isteri kita ada pendapatan tetap.

“Lebih-lebih lagi Datuk Seri Shahrizat dapat gaji menteri tiap-tiap bulan,” katanya.

Rafizi juga bergurau akan menampal “notis tuntutan sebesar pintu rumah” di pintu pagar rumah Salleh jika mahkamah lebih tinggi membuat keputusan memihaknya selepas ini.

Mahkamah Rayuan akan memutuskan permohonan Rafizi untuk membatalkan keputusan yang berpihak kepada Salleh minggu depan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70566

Posted by on Sep 26 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE