Rakyat Selangor dapat jalur lebar percuma tahun depan

( Oleh : Norutul Ilham )

KUALA LUMPUR 30 DisĀ  : Bagi mendekatkan lagi agenda kerajaan negeri dalam program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES), Selangor bakal memperuntukkan jalur lebar (wifi) percuma kepada rakyatnya bermula 2012.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rawang, Gan Pei Nei, langkah bijak Selangor itu bagi melahirkan rakyat celik internet di samping dapat menyalurkan maklumat dengan tepat kepada rakyat.

“Dengan adanya wifi percuma, rakyat lebih senang mendapatkan informasi tepat dan benar daripada kerajaan negeri khususnya.

“Ini adalah salah satu cara sesebuah negara demokrasi memberi kemudahan kepada rakyatnya,” kata Pei Nei kepada Suara Keadilan.

Kata beliau, bagi memperluaskan kemudahan itu, beliau menyarankan Kerajaan Selangor menubuhkan pusat internet terutamanya di kawasan kampung.

“Sasaran kemudahan ini akan dinikmati masyarakat bandar dan desa seluruh Selangor. Pelaksanaan yang bakal dimulakan pada tahun depan itu akan diadakan secara berperingkat.

“Kita sedar bukan semua mempunyai komputer, dan atas sebab itu saya mencadangkan pembinaan pusat cyber rakyat bagi keluarga yang tidak mempunyai komputer,” ujarnya.

Tambah Pei Nei, program itu juga mungkin diperluaskan dengan menyalurkan komputer percuma kepada setiap keluarga.

“Kerajaan Selangor harus memberikan komputer percuma kepada golongan belia dan keluarga kurang berkemampuan supaya mereka tidak akan ketinggalan maklumat terkini,” katanya.

Sementara itu, Exco Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi, Rodziah Ismail berkata, pelaksanaan wifi percuma di Selangor bagi memastikan rakyatnya dapat menerima informasi dengan tepat dan bebas, sesuai dengan Enakmen Kebebasan Informasi (FOI) yang diluluskan kerajaan negeri.

Beliau berharap kemudahan itu dapat dimanfaatkan oleh orang ramai yang menggunakan komputer riba atau telefon bimbit untuk menerima dan menghantar informasi dengan lebih baik.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24894

Posted by on Dec 30 2011. Filed under NASIONAL, SEMASA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE