Renung kesabaran Nabi Muhammad, Anwar yakin fitnah akan lenyap

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengajak umat Islam di negara ini supaya  menghayati perjuangan dari sejarah Nabi Muhammad S.A.W.

Menurut Anwar, kehidupan junjungan besar itu yang menempuh pelbagai ujian dengan penuh kesabaran wajar  dijadikan  pedoman selain dapat menambahkan rasa kecintaan yang mendalam kepada baginda.

“Justeru membaca sirah Nabi S.A.W sentiasa menenangkan saya manakala terus ditohmah rekayasa musuh. Kerana itu saya mengambil kesempatan merenung serta meneliti kesabaran Junjungan Besar berhadapan dengan dugaan,” katanya dalam perutusan sempena sambutan Maulidur Rasul.

Anwar, yang kini menghadapi perbicaraan kes fitnah II  berkata, bagi dirinya, menghayati sejarah perjuangan baginda dapat mengukuhkan iltizam dirinya dan seisi keluarga dalam berdepan pelbagai fitnah sejak sekian lama.

“Kita pastinya tahu akan peristiwa Al-Ifk, kisah fitnah yang dilemparkan kepada Sayyidatina Aishah. Kesabaran Junjungan dan Sayyidatina Aishah berhadapan tohmahan besar itu memperkukuh iltizam saya dan sekeluarga untuk tidak lekang mengharap belas ihsan serta pertolongan Allah S.W.T.

“Ternyata sudah lama keluarga saya berdepan dengan dugaan ini, namun apalah dibandingkan dengan ujian yang dikenakan ke atas para Anbiya dan mereka yang dekat dengan Allah S.W.T. Namun InshaAllah, diiringi doa saudara semua serta pertolongan Yang Maha Penyayang, fitnah ini akan lenyap jua,” ujar Anwar.

Anwar turut mengajak umat Islam menghayati maksud Al Quran dalam Surah An Nur yang bermaksud “Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan akhirat, dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala
perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)”

Tambah Anwar, mengingati Rasulullah SAW tidak sekadar khusus pada tanggal 12 Rabiul Awal iaitu pada hari kelahiran baginda semata-mata.

“Junjungan kita yang menyampaikan pesan wahyu itu haruslah dingati setiap waktu,” ujarnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=6865

Posted by on Feb 15 2011. Filed under BERITA UTAMA, SEMASA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. Both comments and pings are currently closed.

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE