RUU Kesalahan Keselamatan tiada beza dengan ISA – Anwar

(Oleh: Mohd Martin Kahar)

KUALA LUMPUR 16 April: Pengenalan Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 tidak banyak bezanya dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, undang-undang itu dilihat lebih teruk daripada ISA kerana ia ‘mengikat’ mahkamah sehingga tiada peranan sebagai badan yang bertanggungjawab menjalankan proses kehakiman.

“Kita menyambut baik pembatalan ISA kerana ia memenuhhi tuntutan kita (Pakatan Rakyat) selama ini. Kita tidak nafikan undang-undang ini (ISA) pada ketika itu penting untuk melawan pengganas tetapi penyalahgunaannya juga besar pada ketika ini.

“Apa yang kita bantah ialah cadangan untuk pindaan undang-undang yang dilihat lebih keras daripada undang-undang sedia ada. Suhakam telah mengusulkan pada tahun 2002 supaya menghapuskan ISA dan menetapkan supaya kesalahan ini dirujuk kepada mahkamah.

“Ya memang sekarang ini, ia dirujuk kepada mahkamah tetapi ia diputuskan secara mandatori. Maknanya pendakwa hanya bangun dan berkata ‘ yang arif orang ini perlu ditangkap semula’ dan hakim tidak ada pilihan selain berkata ‘ya’.

“Jadi apa bezanya dengan ISA? Sekarang ini dia guna proses mahkamah untuk tangkap. Mahkamah tiada peranan sebagai mahkamah,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen.

Menurut Anwar, undang-undang baru yang diperkenalkan itu juga dilihat melanggar akta kesaksian apabila tertuduh tidak boleh mengetahui maklumat saksi pendakwaan dan ia dirahsiakan daripada tertuduh kononnya atas tujuan keselamatan saksi.

“Sebagai contoh, saudara-saudari (ditujukan kepada wartawan) ditangkap, tidak tahu apa sebab ditangkap, kemudiaan apabila dipanggil saksi, kita tak boleh tahu siapa saksi… peguam tak boleh tahu siapa saksi… saksi cerita apa yang dia nak tanpa kita tahu apa-apa sehingga akhirnya kita tahu kita dituduh sedemikian.

“Nama sahaja proses mahkamah tetapi diikat mahkamah dengan peraturan-peraturan, kerana mahkamah dikatakan mesti ‘dengar’ (mandatori), bercanggah dengan akta kesaksian.

“Apakah dia (saksi) ada niat jahat terhadap saya..  ini tidak kita tak boleh tahu siapa saksi, umur pun tak boleh tahu, jantina juga tak boleh tahu.. Ini yang menyebabkna kita tidak bersetuju dengan pindaan ini,” kata beliau.

Pagi tadi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentangkan Rang Undang-Undang Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 untuk bacaan kali kedua di Dewan Rakyat.

Rang undang-undang yang dibahagikan kepada lapan bahagian itu ekoran pemansuhan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada September tahun lalu.

Ia dikecam ramai pihak kerana memberikan terlalu banyak kuasa kepada polis berbanding ISA sebelum ini yang memusatkan kuasa kepada Menteri Dalam Negeri.

 

 

 

Jika anda suka berita ini, sila ‘Like’ laman Facebook KeadilanDaily.

Anda juga boleh ‘follow’ Twitter KeadilanDaily.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=29186

Posted by on Apr 16 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE