Samseng Umno serang pejabat KEADILAN, polis hanya peluk tubuh

(Oleh Aliff Fikri)

PETALING JAYA 12 MAC: Polis gagal mengambil sebarang tindakan terhadap serangan samseng Umno ke atas bangunan ibu pejabat KEADILAN semalam, walaupun kejadian berlaku berdekatan balai.

Pengarah Strategi KEADILAN, Rafizi Ramli berkata, Balai Polis Tropicana hanya selang dua pintu dari pejabat itu, tetapi tiada seorang pun anggota menghalang serangan tersebut.

rAFIZI“Ia sangat memalukan. Mereka hanya berpeluk tubuh dan tidak diberi arahan oleh ketua mereka supaya menahan samseng yang membuat serangan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, hari ini.

Rafizi berkata, serangan itu perlu dipandang serius kerana menjejaskan keselamatan awam dan bertentangan undang-undang.

“Keganasan ini jelas dirancang kerana mereka membawa telur, batang kayu dan kon lalu lintas khusus untuk menyerang. Mereka juga mengugut untuk membakar pejabat kami. Ini kesalahan jenayah serius,” kata Rafizi.

hqtelurDalam kejadian serangan yang bermula 5 petang semalam, hampir 30 samseng Umno membuat kecoh di hadapan ibu pejabat KEADILAN di Petaling Jaya, menyebabkan seorang kakitangan cedera dan harta benda rosak.

Mereka mendakwa kononnya datang untuk membantah kenyataan Naib Presiden KEADILAN, Tian Chua berhubung pencerobohan pengganas Sulu di Lahad Datu.

Mereka memakai baju putih bercetak anti-Anwar, menyerang dengan melontarkan telur, kayu, batu, kon lalulintas dan membakar bendera KEADILAN.

549430_10151466616347512_1346932869_nInsiden ini merupakan rentetan serangan terhadap Jelajah Merdeka Rakyat bersama Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Melaka dan serangan depan pejabat Tian, masing-masing pada minggu lepas.

Menurut Rafizi, siri keganasan terhadap pimpinan KEADILAN perancangan tersusun Umno yang mengambil kesempatan di atas insiden pencerobohan Lahad Datu, sebagai modal politik untuk menimbulkan kebencian terhadap Anwar dan pemimpin parti.

“Selain propaganda di media perdana, kumpulan samseng Umno digerakkan untuk mengugut dan menimbulkan kebencian melalui keganasan. Politik kebencian yang dimainkan Umno ini dijadikan alasan untuk mengancam keselamatan pimpinan KEADILAN melalui siri keganasan berterusan.

hqoecah“Saya tidak menolak politik kebencian ini dijadikan kesempatan oleh anasir tertentu Umno BN untuk memastikan Anwar ditahan, disiasat seterusnya didakwa,” tegas Rafizi.

Berikutan itu, KEADILAN menggesa polis menyiasat kejadian semalam dan keganasan berterusan yang dicetus kumpulan samseng terhadap pemimpin parti itu.

“Tindakan keras perlu diambil terhadap sesiapa yang terlibat dan menjadi dalang. Insiden ini tidak sepatutnya berlaku. Polis tidak boleh mengambil sikap ‘double standard’ dalam soal ini,” kata Rafizi. – NS

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=47092

Posted by on Mar 12 2013. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google