Selami makna merdeka di Stadium Merdeka (Oleh Lim Hong Siang)

Akhirnya polis memperlihatkan kematangan dan profesionalisme untuk tidak mengganggu perhimpunan rakyat yang aman. Kita megah sebagai rakyat Malaysia untuk turun ke jalan raya tanpa maruah kita dipijak bagai pelarian lantaran bedilan gas pemedih mata.

 

Kita terharu dengan gelombang kebangkitan rakyat yang mengombak di ┬ádalam dan luar Stadium Merdeka pada 12 Januari 2013. Ia bukan sekadar hasil daripada usaha pimpinan Pakatan Rakyat untuk menggembleng penyokong akar umbi dalam tempoh beberapa bulan yang lalu, malah lebih merupakan hasil yang dituai setelah 15 tahun kita menyemai benih dan melaungkan “Reformasi”.

 

Kini kita menyahut laungan “Merdeka” oleh Ketua Pembangkang Parlimen Anwar Ibrahim dengan “Rakyat”. Bukan hanya menunggu, tetapi melakukan segala yang mampu untuk menjurus ke arah kemerdekaan yang sebenar menjelang PRU 13.

 

Kemerdekaan bermakna membebaskan tanahair daripada penjajahan – sumber bumi tidak dirompak, tanahair tidak dijadikan tong sampah negara asing, rakyat tidak lagi diperhambakan dan diperbodohkan.

 

Kita bersyukur kerana masih berpeluang untuk melangkah ke dalam Stadium Merdeka, mengimbas semula detik saat yang paling bangga buat Tunku Abdul Rahman, ketika negara kita dilahirkan dalam bangunan ini pada 31 Ogos 1957.

 

Hampir musnah

Stadium Merdeka nyaris-nyaris dimusnahkan dalam tangan Mahathir Mohamad, yang berdendam dengan Tunku sepanjang hayat politiknya. Bagaimanapun, bangunan yang paling dirindui Tunku ini terselamat lantaran kemelut ekonomi tahun 1997.

 

Stadium Merdeka kini dikelilingi pencakar langit yang tersergam, malah bakal dikerdilkan Menara Warisan Merdeka 118 tingkat, seandainya projek ini gagal dibatalkan. Keghairahan kita memuja bangunan yang terbesar dan tertinggi kadang-kala melalaikan kita daripada menyelami makna sebenar bangunan yang sedia wujud.

 

Stadium Merdeka dibina secara tergesa-gesa untuk upacara pengisytiharan kemerdekaan Tanah Malaya. Kita agak kesempitan dari segi kewangan ketika itu, maka rekaan binaannya disesuaikan dengan bajet yang terhad.

 

Menyedari hakikat bahawa kosnya lebih tinggi untuk membina sesuatu dari atas tanah, maka tanah dikorek ke bawah supaya cerun itu terus dijadikan tempat duduk penonton. Struktur sedemikian menjadikannya kukuh dan tidak mudah runtuh sebagaimana stadium yang dibina dengan kos ratusan juta ringgit sekarang.

 

Nilai keadilan
Lebih penting, mengapa Tunku memilih gelanggang sukan untuk dilangsungkan upacara pengisytiharan kemerdekaan? Menurut jurutera Amerika Syarikat, Stanley Edward Jewkes (1913-2011), yang dipertanggungjawab untuk pembinaan Stadium Merdeka, Tunku pernah berkongsikan konsepnya, bahawa apabila di gelanggang sukan, manusia bersaing berasaskan prinsip yang dasar, iaitu saksama – tidak kira apa warna kulit, pekerjaan atau identiti seseorang.

 

Dengan kata lain, nilai keadilan telah mendasari kemerdekaan Tanah Malaya ketika itu.

 

Jadi, mengapa kita pula berasa apologetik, atau berdosa ketika menjunjung nilai keadilan pada hari ini? Mengapa masyarakat Malaysia sanggup memperlekehkan nilai-nilai murni, yang asalnya wujud ketika negara ini dilahirkan?

 

Hari ini kita menyaksikan bagaimana kerajaan yang berslogankan “Rakyat Didahului”, menongkah arus bantahan untuk mencerobohi tanah warisan sejarah. Seinci demi seinci tanah itu ditelan oleh penguasa yang rakus bertopengkan “transformasi”.

 

Kebetulan beberapa tapak bersejarah seperti Stadium Merdeka, Stadium Negara, Dataran Merdeka, Jalan Petaling-Jalan Sultan terletak dalam lingkungan kawasan itu. Barangkali Taman Merdeka Negara (atau Taman Tunku) telah hilang dari ingatan kita seandainya bahan bukti seperti foto dilupuskan.

 

Diroboh jentolak pembangunan
Konsep kemerdekaan dalam ruangan awam telah diroboh oleh jentolak pembangunan. Keindahan ibu kota kita kini hanya dibingkaikan dalam gambar hitam-putih. Beransur-ansur Kuala Lumpur milikan rakyat dirampas oleh kerajaan untuk pemodal kroninya.

 

Kita bukan sekadar kehilangan tapak dan bangunan, tetapi juga nilai dan jiwa di sebalik kemudahan fizikal ini. Selagi bergelar ruangan awam, maka rakyat sepatutnya boleh memijak kaki di situ secara bebas dan bermaruah.

 

Pemerintahan Umno-Barisan Nasional telah merobek keindahan dalam dan luar gambar. Sebelum HKR 112 kita dihalang untuk berhimpun di Dataran Merdeka. Malah tanpa segan silu papan tanda memberi amaran, “Kawasan Ini Ditutup Untuk Semua Aktiviti”.

 

Itu dari segi kuasa politik. Dari segi kuasa ekonomi pula, bayangkan, apabila Menara dengan nama palsunya “Warisan Merdeka” tersergam di situ, berapa bayaran parking yang perlu kita bayar sebelum menjejak kaki ke situ?

 

Semestinya kawasan itu akan dijadikan pusat komersial yang moden dan bertaraf tinggi, direka hanya untuk mengaut keuntungan dari poket pengguna. Persoalannya, taraf hidup kita boleh melambung lantaran keuntungan ekonomi; namun bagaimana pula dengan kualiti hidup kita, apabila suasana dalam ibu kota ini hanya menjulang kapitalis-kroni, tanpa sedikit ruang untuk rakyatnya – bebas dan percuma untuk bersiar-siar, bersenam, berhimpun, dan menyuarakan perasaannya?

 

 

Mitos Mahathir
Masa sudah tiba untuk kita memecahkan mitos Mahathir Mohamad. Untuk apa kita perlukan bangunan terbesar dan tertinggi, kalau bukan kerana ego dan angkuh? Adakah Kuala Lumpur memerlukan sebuah bangunan tertinggi lagi sebagai lambang “Malaysia Boleh”?

 

Sedangkan pada masa yang sama, warga sivil dinafikan hak berhimpunnya di ruang awam; rakyat miskin dinafikan haknya untuk berjalan-jalan di bekas tapak warisan kemerdekaan?

 

Yang baru tidak semestinya yang baik. Meskipun lebih mundur dari segi kebendaan, namun kita masih hidup dalam suasana aman dan tenteram puluhan tahun sebelum ini.

 

Asas kepercayaan yang terjalin sesama kita yang mewujudkan suasana dan rasa selamat itu. Hari ini kita memegang dengan erat beg tangan apabila berjalan di pusat bandar. Pintu rumah kita sarat dengan mangga. Ketidakadilan sosial, jurang ekonomi yang melebar, nilai amanah yang diperlekehkan – telah mengubah wajah masyarakat Malaysia.

 

Padahal Malaysia tidak memerlukan cincin RM24 juta untuk menunjuk-nunjuk kemegahannya; Malaysia tidak memerlukan suntikan botox atau alat kosmetik untuk menyolek wajahnya. Malaysia hanya perlu kembali untuk memegang nilai-nilai murni yang terabai sepanjang puluhan tahun ini.

 

Seandainya kita dengan rendah diri menghayati semangat rekaan Stadium Merdeka, maka stadium baru kita tidak akan runtuh hanya apabila Allahyarham Tunku mengeluh dalam udara.

 

 

*Lim Hong Siang ialah bekas editor MerdekaReview, edisi bahasa Malaysia. E-mel: hongsiang27@gmail.com

**Sebahagian fakta yang dicatat dalam tulisan ini dipetik dari satu forum bertemakan Tanah Warisan Merdeka yang diadakan pada 15 Januari 2013.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=43785

Posted by on Jan 24 2013. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google