Selangor bantu pelajar tajaan negeri di Mesir
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan menyediakan peruntukan kewangan kepada pelajar tajaan kerajaan negeri yang berhasrat kembali ke Mesir bagi menyambung pelajaran yang tertangguh kerana pergolakan politik di negara berkenaan, kata Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan perjumpaan bersama hampir 3,000 pelajar dan ahli keluarga mereka di Dewan Jubli Perak, malam tadi.
“Kita mempunyai simpanan berjumlah RM800 juta. Wang ini boleh digunakan jika berlaku kecemasan. Kerajaan negeri mempunyai kewangan yang mencukupi, tetapi perlu dibelanjakan dengan betul dan jujur.
“Bagi pelajar bukan tajaan yang berasal dari Selangor, kerajaan negeri sedia berkerjasama dengan kerajaan Persekutuan jika diminta membantu menghantar pelajar-pelajar ini kembali ke negara berkenaan,” kata Khalid.
Kira-kira 1,300 anak Selangor sedang menyambung pelajaran di Universiti dan pusat pengajian tinggi di Mesir, termasuk kira-kira 600 yang ditaja menerusi Lembaga Zakat Selangor (LSZ).
Khalid menjelaskan, kerajaan negeri tidak akan membuat keputusan terburu-buru, kerana bimbang berlaku pertindihan tanggungjawab antara kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan.
“Saya yakin kerajaan Persekutuan mampu untuk menghantar semula pelajar-pelajar ke Mesir. Jika kerajaan Persekutuan meminta bantuan kerajaan negeri, kita tiada masalah membantu.
“Untuk waktu terdekat ini, kerajaan negeri menyediakan pusat latihan dan kem-kem bina semangat kepada pelajar yang terlibat untuk mengikuti kursus bina diri dan pembangunan insan di Kem Ampang Pecah, Morib dan pusat latihan lain,” tambah Khalid.
Beliau memaklumkan, Universiti Selangor turut menyediakan kursus jangka pendek kepada pelajar terlibat untuk memantapkan dan meningkatkan kefahaman dalam Bahasa Arab, Bahasa Inggeris, Kewangan dan Komputer.
“Kolej Islam Selangor (KUIS) dan Yayasan Selangor juga diminta untuk membantu pelajar-pelajar Selangor supaya mereka dapat memanfaatkan masa menunggu sebelum dapat pulang semula Mesir,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=7023






