Selangor sumbang RM120 ribu kepada keluarga bomba terkorban

Kerajaan Selangor menyumbangkan RM20,000 kepada setiap keluarga enam orang anggota bomba yang terkorban dalam misi menyelamat di Puchong, semalam.

Menteri Besar, Amirudin Shari yang menziarahi keluarga mangsa membuat pengumuman itu seusai menziarahi jenazah enam orang pahlawan tersebut di Balai Boba Seksyen 16, Shah Alam.

“Pagi yang hiba dan sayu. Negara kehilangan enam orang perwira yang menggadaikan nyawa demi menyelamatkan seorang remaja.

“Pengorbanan yang tiada galang ganti. Semoga Allah SWT merahmati roh mereka dan diletakkan di syurga penuh nikmat,” hantaran akaun Twitter beliau dipetik.

Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut mencuri masa menziarahi keluarga salah seorang mangsa, Adnan Othman yang menetap di Lukut, Port Dickson.

“Takziah untuk mereka yang terkorban ketika misi menyelamat. Kalian adalah perwira dan pejuang,” kata Anwar menerusi akaun Twitter beliau.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menzahirkan rasa hibanya ke atas insiden itu.

“Semoga roh semua arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan orang-orang beriman. Terima kasih atas jasa anda semua. Salam takziah kepada ahli keluarga wira-wira negara ini,” hantaran Facebook Dr Wan Azizah dipetik.

Dalam kejadian pada pukul 9 malam tadi, enam anggota dilaporkan lemas akibat dibawa arus deras dalam operasi mencari dan menyelamat di lombong di Puchong, Selangor.

Anggota terbabit, Mohd Fatah Hashim, 34; Izzatul Akma Wan Ibrahim, 32, Mazlan Omar Baki, 25 dan Yahya Ali, 24 dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pelabuhan Klang.

Dua lagi anggota bomba yang meninggal dunia dari BBP Shah Alam iaitu Adnan Othman, 33 dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=72391

Posted by on Oct 4 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE