Seleweng zakat: KEADILAN lapor polis minggu depan

(Oleh : Masdar Wahid)

KUALA LUMPUR 30 Dis: KEADILAN akan membuat laporan polis terhadap Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Bahrom jika beliau masih enggan menjawab skandal penyelewengan wang zakat melibatkan dirinya, kata Nik Nazmi Nik Ahmad.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Jamil Khir Bahrom

Penjelasan itu kata Pengarah Komunikasi KEADILAN itu penting kerana kenyataan individu tertentu yang menjawab skandal tersebut bercanggah antara satu sama lain dan mengelirukan rakyat.

“KEADILAN akan membuat laporan polis pada minggu depan jika tiada penjelasan munasabah (dari Jamil Khir) tentang percanggahan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Percanggahan itu kata beliau termasuklah dakwaan Setiausaha Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Che Mat Che Ali kelmarin kononnya Pakatan Rakyat mempolitikan isu itu.

Sementara Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Dr Muhammad Yamin Ismail semalam memberi alasan agensi itu mempunyai peruntukan khas daripada geran kerajaan bagi membayar yuran guaman melibatkan Ketua Pendakwa Syarie Wilayah Persekutuan, Shamsuddin Hussain, Che Mat dan Jamil Khir bagi kes tuntutan qazaf.

“Namun jawapan Che Mat dan Muhammad Yamin bercanggah dengan beberapa pihak yang tiada kaitan dengan Pakatan Rakyat.” katanya.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Nik Nazmi Nik Ahmad

Nik Nazmi memberi contoh bagaimana Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim (timbalan Jamil sendiri) mengakui kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dalam perbahasan Perbekalan Tambahan 2011 di Dewan Rakyat pada 21 Jun lalu.

“Pada 23 Jun lalu pula, peguam Zainul Rijal Talha dan Amir meminta pandangan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman.

“Manakala pada 21 November lalu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang mengesahkan kos guaman dibayar menggunakan peruntukan zakat pada Februari dan April 2010 meskipun akhirnya digantikan pada hujung tahun 2010 kerana geran kerajaan gagal menampung pembayaran yuran guaman itu,” katanya.

Walau menerima geran kerajaan sebanyak RM700,000 pada 22 Jun 2010, katanya, pembayaran semula hanya dibuat pada Disember 2010 sebagai proses ‘pelarasan semula’.

Beliau juga berharap Che Mat menjawab persoalan dibangkit Saifuddin Jun lalu mengenai kesahihan prosedur yang diguna kerana beliau yang memohon peruntukan kos guaman itu dan beliau juga selaku Setiausaha MAIWP yang meluluskannya.

“Sewajarnya Jamil tampil menamatkan sebarang keraguan dan saya difahamkan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin sudah menasihatkan Jamil untuk mengeluarkan kenyataan rasmi,” katanya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=24899

Posted by on Dec 30 2011. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE