Saiz Teks: A A A

Semakan kehakiman TOL Lynas ditangguh 20 Mac

(Oleh: Masdar Wahid)

 

KUALA LUMPUR 28 Feb: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan sebutan kes semakan kehakiman berhubung pemberian lesen operasi sementara (TOL) Lynas di Gebeng, Kuantan pada 20 Mac ini.

Hakim Datuk Rohana Yusof mengarahkan plaintif merujuk kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) terlebih dahulu kerana terdapat bantahan awal yang dikemukakan Jabatan Peguam Negara.

Bantahan Jabatan Peguam Negara itu bagaimanapun hanya dikemukakan pagi ini dengan kes hanya didengar di dalam kamar.

Antara alasan Jabatan Peguam Negara ialah penduduk tidak mengikuti prosedur sebelum melakukan kes semakan kehakiman itu seperti merayu terlebih dahulu kepada menteri berkaitan.

Sementara itu, Pengerusi Stop Lynas Coalition, Andamsura Rabu kesal kerana kes itu tidak dibicarakan hari ini.

“Kita akan bincang dengan peguam dan konsisten menjawab bantahan peguam negara serta bersedia memberi sebarang maklumat yang ada.

“Bukan setakat peguam, kami yang hadir turut kecewa kerana kes tidak dibicarakan pagi ini,” katanya.

Turut hadir, tujuh dari 10 plantif dalam kes ini iaitu Zakaria Abdullah, Ramli @ Kamaluddin Awang, Ab Sani Ahmad, Mohd Rasid Hamzah, Mansor Bedu, Ali Akbar Othman, Hashim Bin Awang, R. Nadarajan, Pang Chee Kian dan Tuw Yin Lan.

Mereka memfailkan semakan kehakiman itu kerana tidak berpuas hati dengan tindakan pentadbiran Datuk Seri Najib Razak yang memberikan lesen operasi sementara kepada Lynas di Gebeng, Kuantan, Pahang.

Pada 24 Februari lalu, mereka memohon perintah penggantungan iaitu menghalang Lynas daripada memulakan operasi sehingga semakan kehakiman itu dilupuskan.

Kes difailkan melalui syarikat guaman Kanesalingam & Co dengan Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB), Jabatan Alam Sekitar dan Lynas Corporation dinamakan sebagai responden dalam kes itu.

Pemohon diwakili oleh peguam K Shanmuga dan Aston Paiva, manakala Lynas pula oleh peguam Dominic Puthucheary.

Sementara itu, lebih 100 penduduk Kuantan menaiki dua bas, selain puluhan warga kota turut hadir menyatakan sokongan.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=27413

Posted by on Feb 28 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry