Setengah bilion bina rumah kos rendah, S’ngor, P Pinang catat sejarah

(Oleh Norutul Ilham)

KUALA LUMPUR 22 Oktober: Kerajaan Selangor dan Pulau Pinang catat sejarah ulung menyediakan RM500 juta untuk pembinaan rumah kos rendah tanpa bantuan Kerajaan Pusat.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kedua-dua negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat (Pakatan) itu sedia meneruskan pembangunan projek tersebut walaupun ia adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat.

“Kita bukan nak serang seperti yang dibuat Umno, tapi kita akan berikan fakta, rumah kos rendah ini tanggungjawab siapa? Tetapi Selangor dan Pulau Pinang catat sejarah buat pertama kali sediakan setengah bilion untuk bina rumah kos rendah.

“Masa saya jadi Menteri Kewangan, tanggungjawab bina rumah kos rendah adalah kerajaan Pusat, bukan kerajaan negeri. Kerajaan negeri hanya beri tanah dan mempercepatkan proses kelulusan pembinaan,” katanya di depan 8,000 hadirin pada Majlis Makan Malam KEADILAN Selangor 2012 di perkarangan parkir Stadium Melawati Shah Alam, malam tadi sempena Jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu.

Menyentuh kejayaan Selangor, Anwar menyifatkan Tan Sri Khalid Ibrahim Menteri Besar paling berjaya.

“Sebagai Menteri Besar, Selangor adalah yang paling berjaya dalam sejarah, tengok bagaimana beliau (Khalid) boleh kutip hutang daripada syarikat Talam. Tapi isu ini tidak pernah disiarkan. Lebihan wang negeri melebihi RM2 bilion, ini baru empat tahun memerintah.

“Apa beza (pentadbiran) Pakatan, kita tunjukkan pelaksanaan, contohnya apa yang kita buat selepas pilihan raya, beri air percuma kepada rakyat,” kata Ketua Umum KEADILAN itu.

Prestasi kewangan Selangor mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2011 membanggakan apabila hasil wang pelaburan yang diperoleh pada 2011 meningkat sebanyak RM1.55 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Pencapaian ini sekaligus mengekalkan peningkatan wang pelaburan negeri itu bagi tahun kelima berturut-turut.

“Saya tak jamin pemimpin Umno tidak ambil tanah negeri, bawa syarikat negeri dan komisen berbilion ringgit.

“Sebab itu paling penting integriti moral yang perlu ada dalam politik negara dan antarabangsa. Masalah kita dalam negara kerana (apabila) orang masuk politik itu untuk cari kekayaan. Menteri mana tidak ambil saham Bumiputera, lembu pun diambilnya,” kata Penasihat Ekonomi Selangor itu.

Anwar turut mempersoal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sanggup mempertahan ‘penyangak’ negara daripada membela rakyat.

“Najib kenapa kamu pertahankan orang yang rompak negara, rasuah? Mengapa kamu tiada keberanian untuk lawan perkara ini?

“Nak jadi pemimpin kerana berani, tengok Syed Mokhtar (Al-Bukhari), nak apa pun boleh, KTM (Keretapi Tanah Melayu) dapat, beras dapat, gula dapat, Tanjung Pelepas pun terlepas,” sinisnya.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=38244

Posted by on Oct 22 2012. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE