Sim: Pendakwaan semula kuatkan semangat melawan

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin tidak gentar apabila beliau didakwa semula atas tuduhan mengambil bahagian dalam himpunan Kita Lawan pada 2015.

Pengarah Strategi KEADILAN itu berkata, dakwaan tersebut menguatkan lagi semangatnya untuk meneruskan perjuangan.

“Jika mereka fikir ini akan menghentikan saya daripada berjuang untuk demokrasi dan melawan ketidakadilan, mereka salah!

“Ia hanya menguatkan keazaman saya untuk melawan rejim penindas sehingga ia tumbang,” katanya sewaktu mengulas berita pendakwaan semula itu menerusi akaun Facebook beliau.

Sim, aktivis Bersih, Maria  Chin Abdullah dan Mandeep Singh dihadapkan ke Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur atas tuduhan mengambil bahagian dalam perhimpunan Kita Lawan pada 2015, lapor Malaysiakini.

Memohon untuk dibicarakan, mereka berdepan dengan tuduhan yang sama bagi kali kedua selepas dilepas tanpa dibebaskan pada 28 Ogos.

Majistret Ahmad Solihin membenarkan ikat jamin RM500 setiap seorang dengan seorang penjamin. Mahkamah kemudian menetapkan 3 November depan untuk sebutan semula kes itu.

Maria, Sim dan Mandeep didakwa mengambil bahagian dalam perhimpunan antara 3.15 petang hingga 6 petang pada 28 Mac 2015, dari air pancut di Jalan Tun Perak ke Sogo di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

Jika sabit kesalahan, mereka masing-masing boleh didenda RM10,000.

Mengikut kertas pertuduhan, mereka didakwa menyertai protes jalanan itu antaranya bagi tujuan Reformasi dan Bebaskan Anwar dan Bebas Berhimpun Bebas Bersuara.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4(2)(c) Akta Perhimpunan Aman 2012 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(3) akta sama membawa hukuman denda tidak melebihi RM10,000, jika sabit kesalahan.

Pada 8 September 2015, mereka mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur atas pertuduhan yang sama.

Pada 28 Ogos lalu, mereka dilepas tanpa dibebaskan daripada pertuduhan itu selepas pendakwa raya yang mengendalikan kes terbabit gagal hadir pada hari pertama perbicaraan kes.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=70606

Posted by on Oct 4 2017. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE