Sim ‘tanya’ jika MRT, LRT dapat pengecualian GST

Pengarah Strategi KEADILAN Sim Tze Tzin mendesak Putrajaya untuk menjelaskan jika projek MRT dan LRT pernah mendapat pengecualian cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Soalan itu yang ditanya dalam bentuk sindiran diajukan selepas kontraktor projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL) dikecualikan daripada membayar GST.

“Tahniah projek ECRL dikecualikan GST kepada syarikat China. Adakah projek MRT, LRT milik syarikat Malaysia dapat pengecualian GST?” tanya beliau di laman Facebook peribadinya.

Jabatan Kastam Diraja Malaysia har ini mengesahkan sijil pelepasan GST kepada kontraktor ECRL, China Communications Construction Company (CCCC), yang dikongsi di media sosial semalam.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Seri Subromaniam Tholasy dilapor berkata, jabatan itu menyokong pelepasan oleh Kementerian Kewangan kepada CCCC.

Alasannya, ECRL adalah projek melibatkan dua kerajaan yang membabitkan ‘kemudahan awam’.

“Ia bagi mengurangkan kos projek yang berorientasikan kemudahan awam. Secara amnya, pelepasan ke atas syarikat ini bagi memastikan projek strategik ECRL dapat dilaksanakan dengan jayanya serta memberi manfaat besar kepada rakyat secara keseluruhannya,” katanya dalam kenyataan semalam.

Semalam, Naib Presiden AMANAH Husam Musa memuat naik sijil pelepasan GST yang menyatakan ia diberikan bawah Seksyen 56(3)(a) Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

Seksyen itu menyatakan kuasa menteri kewangan untuk memberikan pelepasan berkenaan.

Turut disertakan kepala surat CCCC yang memberitahu pembekalnya bahawa ia diberikan pelepasan GST berdasarkan surat oleh Kementerian Kewangan bertarikh 7 Feb tahun ini.

Ia menambah bahawa pelepasan GST itu berkuat kuasa pada 26 September 2016.

Kerajaan kini membiayai projek bernilai RM60 bilion itu menerusi pinjaman mudah dari Bank Eksport-Import China dan hutang yang diperolehi dalam pasaran bon.

Dibina sepanjang 600km, ECRL akan menghubungkan Pelabuhan Klang dengan bandar-bandar utama pantai timur Semenanjung Malaysia termasuk Kuantan, Kota Bharu dan Kuala Terengganu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71622

Posted by on Apr 17 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE