Siswa tuntut yuran ‘paksa’ makan malam dipulangkan

Sekumpulan mahasiswa yang menggelarkan diri mereka Suara Siswa Universiti Malaya menggesa pihak pentadbiran memansuhkan dan memulangkan bayaran RM120 yang dikenakan untuk ‘Majlis Makan Malam’ di setiap kolej kediaman.

Wakil kumpulan itu, Muhammad Ahnaf Mohd Yunus, 23, berkata bayaran itu dikenakan untuk aktiviti tersebut yang bakal berlangsung di sebuah hotel di ibu kota bulan depan.

“Bayaran dikenakan tanpa persetujuan dan kerelaan merupakan satu paksaan yang dianggap tidak relevan dan tiada nilai perikemanusiaan.

“Walaupun majlis makan malam adalah relevan dan signifikan untuk sesuatu kolej kediaman, kami berpendapat setiap penghuni patut diberi hak untuk memilih sama ada menghadiri aktiviti itu atau tidak,” katanya.

Lebih menghairankan, bayaran itu dipotong terus daripada wang pinjaman pengajian namun kehadiran pada majlis itu adalah opsyenal.

Namun, mahasiswa yang memilih untuk tidak hadir tidak boleh menuntut bayaran itu dari UM, kata Ahnaf.

Ahnaf mendakwa segelintir mahasiswa juga diugut tidak akan mendapat kolej kediaman pada semester hadapan sekiranya enggan membuat pembayaran yuran tersebut.

Katanya, seramai 7000 mahasiswa daripada 11 kolej tidak mampu untuk menanggung bayaran yuran itu kerana rata-rata datang daripada golongan B40.

“Pihak universiti dilihat seakan membantu golongan B40, tetapi pada masa yang sama pihak tersebut mengenakan caj secara paksaan.

“Isu ini sudah disuarakan dari tahun lepas tetapi masih tiada penyelesaian dan tidak diselenggarakan dengan baik.

“Sejauh mana pihak kolej telus dalam menggunakan wang sebanyak itu. Sedangkan tahun sebelum ini kami mendapat aduan ada pelajar yang tidak dapat makan, dan catering (hotel) kehabisan nasi serta lauk,” katanya.

Memorandum yang ditandatangani lebih 5000 orang mahasiswa itu diterima pegawai tadbir UM, Muhammad Izzat Izzuddin Hamdan yang mewakili Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UM, Prof Ir Dr Abdul Aziz Abdul Raman.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=73144

Posted by on Mar 21 2019. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE