SPR pindah undi secara haram menerusi belah bahagi
PETALING JAYA 22 Feb: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) didapati memperalatkan peruntukan undang-undang untuk memindahkan pengundi secara haram dengan menggunakan sistem belah bahagi.
“SPR telah menggunakan kedudukan mereka dan peruntukan perundangan untuk terlibat di dalam aktiviti penyelewengan daftar pemilih.
“Sedangkan, mengikut Akta Pilihan Raya, proses ini tidak boleh sama sekali melampaui sempadan Bahagian Pilihan Raya Negeri, apatah lagi parlimen,” kata Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh.
Beliau mengulas hal ini berikutan kenaikan jumlah pengundi yang mendadak di kawasan pilihan raya Selangor, tanpa sebarang maklumat dipaparkan dalam daftar pemilih tambahan.
Dalam satu kenyataan kepada Keadilandaily, Fuziah menunjukkan terdapat tambahan seramai 3364 pemilih di kawasan parlimen Subang berbanding pada tahun 2010.
Fuziah menjelaskan, tambahan pengundi sepatutnya lebih rendah selepas mengambil kira pendaftaran pengundi baru yang tidak diterima.
Beliau juga turut mengemukakan bukti pemindahan pengundi ke dalam kawasan parlimen Subang yang tidak dipamerkan dalam daftar pemilih tambahan.
“Hampir 200 pemilih dipindahkan ke dalam kawasan parlimen Subang. Pindahan ini dibuat tanpa sebarang permohonan daripada mereka,” jelasnya.
Beliau berkata, perlakuan SPR ini menyalahi undang-undang dan boleh mengakibatkan daftar pemilih menjadi tidak sah untuk digunakan pada pilihan raya akan datang.
“KEADILAN mengutuk dan menuntut SPR untuk bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang dilakukan,” katanya.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26992






