‘SPR terdesak larang gambar Anwar dan Tun M’

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bertindak berat sebelah apabila membenarkan hanya gambar presiden dan timbalan presiden parti digunakan dalam kempen pilihan raya umum ke-14.

Presiden Pakatan Harapan merangkap calon timbalan perdana menteri Malaysia, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata pengumuman terbaru SPR itu melangkaui tugas-tugas mereka dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ia juga sebenarnya adalah satu cara untuk melarang penggunaan gambar Ketua Umum KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamed, katanya.

“Ini adalah tindakan terdesak mengharamkan penggunaan gambar Ketua Umum Pakatan Harapan saudara Anwar Ibrahim dan Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr. Mahathir Mohamed sebagai bahan kempen PRU-14.

“Jelas sekali SPR bertindak melangkaui tiga tugas dan tanggungjawab utama sepertimana yang termaktub perkara 113 Perlembagaan Persekutuan iaitu menjalankan pilihan raya, menyediakan dan menyemak daftar pemilih serta menjalankan kajian semula bahagian pilihan raya Persekutuan dan Negeri-negeri.

“SPR harus memastikan pilihan raya umum ke-14 ini berjalan secara bebas, bersih dan adil, bukannya menetapkan syarat-syarat yang berat sebelah dan tidak masuk akal,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas peraturan tambahan SPR yang dikeluarkan pengerusinya, Tan Sri Mohd Hashim Abdullah yang dikeluarkan semalam.

Larangan menyiarkan gambar selain daripada calon dan dua pemimpin tertinggi parti yang bertading itu dibuat atas alasan untuk “mengekalkan keamanan dan tidak mengelirukan pengundi”.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=71663

Posted by on Apr 25 2018. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE