Tiada sebab pertubuhan silat mesti musuhi peserta Bersih- cikgu Majid Mat Isa

(Oleh: Ahmad Fadli)

PULAU BESAR: Pengamal silat yang sebenar tidak akan bermegah-megah dengan ilmunya dan mengancam keselamatan orang lain, sebaliknya hanya mempergunakan ilmu yang dipelajari untuk manfaat agama, bangsa dan negara.

Malah, mana-mana pengamal silat yang dengan sengaja menakut-nakutkan orang lain untuk menunjukkan kekuatan, pasti akan menerima balasan daripada Allah.

“Orang yang hendak buat kacau kita tidak galakkan. Kalau mereka hendak tunjuk megah, Allah Taala akan bagi balasannya,” demikian dinyatakan Pengasas dan Guru Utama Pertubuhan Silat Seni Pusaka Gayong Malaysia, Cikgu Abdul Majid bin Mat Isa.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas kenyataan  Omardin Mauju, Guru Utama Silat Lincah Malaysia yang mengancam supaya perhimpunan Bersih 9 Julai ini dibatalkan, jika tidak mahu ‘berperang’ dengan pengamal seni silat di negara ini.

Omardin, mengeluarkan ugutan kepada Pengerusi Bersih, Ambiga Sreenevasan supaya menghentikan hasrat itu kerana khuatir tidak dapat mengawal ’emosi’ anak-anak didiknya jika mereka ‘bertembung’ pada perhimpunan itu nanti.

Kenyataan Omardin itu disiar akhbar milik Umno, Utusan Malaysia hari ini.

Bercakap lebih lanjut, Cikgu Majid berpendapat tujuan Bersih adalah berhimpun secara aman untuk menuntut keadilan, justeru tidak ada sebab  mana-mana pertubuhan silat memusuhi peserta himpunan itu.

“Kita tak berfikir yang mereka (Bersih) akan menimbulkan masalah. Kita tak anggap begitu. “Apa-apa tindakan yang kita mahu ambil hendaklah berpaksikan keadilan yang sebenarnya,” kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid juga memberi jaminan bahawa penuntut Silat Gayung Pusaka sendiri tidak akan mengancam dan menakut-nakutkan orang lain daripada menyertai mahupun menghindari perhimpunan tersebut.

“Saya pun tak akan izinkan anak-anak Gayung buat kacau pada perhimpunan begini,” kata Cikgu Majid.

Cikgu Majid atau nama penuhnya Abdul Majid Mat Isa adalah Pengarah dan Gurulatih Utama Pusaka Gayong Malaysia dan masih mengekalkan gelaran ‘Cikgu” walaupun beliau sendiri sebenarnya bertaraf seorang mahaguru dalam dunia persilatan.

Cikgu Majid adalah murid kanan pengasas Gayong Malaysia, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dan menuntut seni silat Melayu itu di Woodlands, Singapura.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=16196

Posted by on Jun 29 2011. Filed under NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE