Timbunan hutang negara RM456b zaman Najib, RM89b era Anwar

(Oleh Aisha Geoffrey)

PETALING JAYA 30 November: Hutang negara semasa pentadbiran Najib Razak kini cecah RM456 bilion dan ia melonjak lima kali ganda berbanding RM89 bilion di era Anwar Ibrahim, kata Timbalan Presiden KEADILAN, Mohamed Azmin Ali.

“Sepanjang tempoh Datuk Seri Anwar menjadi Menteri Kewangan, hutang negara semakin berkurangan dan Malaysia mengalami lebihan belanjawan yang berterusan sehingga tahun 1997.

“Sebaliknya, hutang negara kini melonjak lima kali ganda berbanding baki hutang yang ditinggalkan oleh Anwar.

“Hutang negara yang diterajui Datuk Seri Najib kini mencecah RM456 bilion pada akhir tahun 2011 mewakili 53 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar),” katanya pada sidang media di ibu pejabat parti hari ini.

Beliau membidas ucapan Perdana Menteri yang mendakwa kononnya Ketua Pembangkang bukan ‘pengurus ekonomi yang cekap’ sewaktu menjadi Menteri Kewangan dari 1992 hingga 1998.

Azmin berkata, sepanjang pentadbiran Anwar, defisit belanjawan negara hanya sekitar 0.8 peratus sehingga 2.4 peratus.

“Manakala pada era Najib, ia meningkat sekitar 4.1 peratus sehingga 6.7 peratus. Ini sumber dari Kementerian Kewangan
sendiri,” jelas Ahli Parlimen Gombak itu.

Tambahnya, tidak pernah ada Menteri Kewangan atau Perdana Menteri yang paling banyak menggunakan dana Petronas, kecuali Najib.

Menurut Azmin, kegilaan berhutang dan berbelanja boros Najib memaksa Petronas menyumbang dividen pada kadar paling tinggi dalam sejarah negara iaitu sebanyak RM30 bilion.

“Sewaktu Anwar jadi Menteri Kewangan, kadar dividen yang perlu dibayar Petronas hanya RM3.1 bilion setiap tahun, manakala apabila Najib memegang jawatan itu, kadar dividen melonjak sehingga RM30 bilion setahun,” katanya.

Beliau berkata, rakyat tidak buta angka dan arif membezakan pertumbuhan ekonomi sekitar 9 hingga 10 peratus semasa Anwar mentadbir ekonomi negara, berbanding 4 hingga 5 peratus di bawah Najib, di samping kos sara hidup semakin tinggi.

“Pencapaian Najib tidak pernah pun mengatasi Anwar. Jadi usah gunakan taktik yang sama menjelang pilihan raya hanya untuk menakut-nakutkan rakyat kononnya negara akan muflis jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan,” kata Pengarah Pilihan Raya KEADILAN itu.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=40374

Posted by on Nov 30 2012. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google