Tinjau mangsa banjir pada hari jadi

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap turun padang untuk meninjau sendiri keadaan mangsa banjir di Kelantan walaupun 3 Disember hari ini adalah ulang tahun kelahirannya yang ke-67.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat tiba pada 10 pagi di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tinggi, Rantau Panjang untuk mengagihkan kit makanan.

Beliau disambut Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kelantan yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) Senator Husam Musa.

Dr Wan Azizah kemudiannya mendengar taklimat berkaitan banjir yang melanda Pasir Mas selama kira-kira 30 minit daripada Ketua Jajahan Pasir Mas, Nik Mohamed Noor Nik Ishak.

Sementara itu, ketika ditemui pemberita, Dr Wan Azizah berkata keadaan banjir yang berlaku di Kelantan ketika ini tidaklah seteruk yang berlaku pada 2014.

“Banjir kali ini berkemungkinan bersamaan dengan banjir 2016. Tidaklah seteruk banjir 2014 yang kita panggil banjir kuning tetapi (banjir) 2016 pun ramai juga mangsa, dan kita belum lagi habis Monsun Timur Laut yang akan berakhir Februari ini.

“Kalau kita lihat trend itu kita harap tahap kesiapsiagaannya dipertingkatkan,” katanya memetik Bernama.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan juga akan melihat langkah penyelesaian lebih holistik bagi mengatasi bencana banjir yang berlaku secara tahunan di beberapa tempat di seluruh negara.

“Kita kena fikirkan bagaimana (untuk membina) tebatan banjir, lepas itu tindakan yang holistik dan dapat kita tangani bukan sahaja di Rantau Panjang, Pasir Mas, Tumpat tetapi lain-lain (kawasan juga),” katanya.

Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat kepada 10,207 orang melibatkan 3,480 keluarga setakat 8 pagi semalam berbanding 10,078 mangsa (3,437 keluarga) pada 1 Disember.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74380

Posted by on Dec 3 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE