Saiz Teks: A A A

Topeng dan kekerasan (Oleh: Hafiz Hamzah)

Seorang wanita, Oluwasesin ditelanjangkan, dipukul sebelum kemudiannya ‘dirantai’. Dia selepas itu dibakar – oleh murid-muridnya sendiri – atas alasan ‘tidak menghormati al-Quran’. Agak ralat untuk kita mendengar kisah seperti ini, ketika perlakuan kekerasan didampingkan tanpa segan silu di sisi agama. Sejak dulu, barangkali, orang merasa hairan, mengapa agama ditukar oleh sebahagian penganutnya sendiri menjadi seperti satu bayang-bayang gergasi yang saling menakutkan antara satu sama lain. Apa jadi dengan ajaran paling asas agama, termasuk oleh Islam, yang mengajarkan umat dunia ini agar berbuat baik sesama manusia?

Apa kesalahan Puan Oluwasesin? Dia merampas naskah al-Quran – dan kebetulan, bersekali dengan naskah Bible – daripada pelajar-pelajar sekolah menengah yang menipu di dalam kertas peperiksaan Pengajian Agama. Itu saja, dan keadaan selepas itu menjadi tidak terkawal.

Kisah ini diceritakan oleh Wole Soyinka, pemenang Hadiah Nobel Kesusasteraan asal Nigeria di dalam sebuah rencana bertajuk The Butchers of Nigeria. Soyinka menyorot kembali pertelingkahan Islam-Kristian di Nigeria, yang berlanjutan sejak beberapa dekad dulu. Saya duduk di sebuah petang yang hening, di lantai 15, untuk membaca dengan perasaan yang bercampur, tentang pertembungan dengan setiap lambang agama ini tanpa sedikit pun keinginan untuk mengingati sebuah kata yang dulu selalu dipesan – tolak ansur. Lebih tidak menyenangkan, cerita Soyinka yang satu ini bukan sebuah cerita rekaan.

Boko Haram dan Fanatisme

Perang agama menjadi amat menakutkan di sana. Situasi tegang ini, yang tidak ditangani dengan kehadiran akal yang waras, menghumban negara itu ke dalam kancah kecamuk ketuhanan yang makin dalam. Dan, daripada lanskap kacau-bilau ini, Boko Haram muncul. Mereka, sebuah kumpulan pelampau Islam, melakukan pembantaian dengan lebih ketara dan sistematik; anggota-anggotanya yang berselerak di merata tempat hanya menunggu ‘kata-kata untuk diberikan’, sebelum membunuh dengan wenang. Ada waktunya pembunuhan itu diumumkan terlebih dahulu sebelum dikerjakan. Mereka mencabut nyawa orang lain seperti Tuhan itu tak ada. Menjatuhkan hukum ke atas siapa saja yang dirasakan perlu (ulang, ‘dirasakan’), tanpa terlebih dulu di adili. Semua ini berlaku atas nama agama, saling membalas antara kedua-duanya.

Soyinka menyebut tentang permasalahan ekonomi; tiada pekerjaan, salah urus tadbir negara, pembaziran sumber, penyisihan sosial dan rasuah besar-besaran. Ini, menurut Soyinka, tidak dinafikan sepenuhnya menjadi antara pemangkin kepada pertelingkahan di negara tempat lahirnya, walaupun pada wajah setiap mereka yang terlibat dan menerima akibat oleh hal itu dipasangkan topeng agama. Melaung-laungkan iman masing-masing, tetapi bukan untuk melakukan kebaikan, tetapi untuk membuat kerosakan, yang dilakukan secara sedar dan berkesan sekali. Sebahagian lagi hal yang memacu ke arah kehancuran struktur masyarakat Nigeria, menurut Soyinka lagi,  ialah sikap dan faham ekstrem dan fanatik penganut agama-agama itu.

Agama bukan alasan melakukan kezaliman

Saya tak fikir agama menjadi satu masalah. Tetapi, yang membenihkan masalah genting seperti itu adalah ketidak-seimbangan yang berlaku apabila agama tidak ditanggapi dengan akal sihat. ‘Rasa’ sahaja tidak mencukupi untuk menayangkan iman, dengan perlakuan-perlakuan yang keras. Pada kebanyakan waktu,  kelembutan adalah keindahan, dan barangkali, kewujudan bersama lebih bermakna berbanding dominasi budaya dan kepercayaan ketuhanan ke atas pihak-pihak yang lain.

30 tahun dulu, seperti diingati Soyinka, di perkarangan gedung Universiti Ibadan yang terletak dalam  negeri yang menjadi kubu penting penganut Kristian Nigeria, menteri pendidikan waktu itu mengarahkan agar simbol salib di sebuah tapak upacara agama penganut Kristian di kampus itu dialihkan dengan alasan dia menerima aduan daripada kelompok Muslim bahawa salib berkenaan menyinggung perasaan mereka, kerana akan kelihatan setiap kali mereka sembahyang dan sujud ke arah sebelah timur. Hari ini, salib itu masih ditempatnya, dan simbol bulan-bintang penganut Islam juga dibangunkan, terletak tak jauh dari satu sama lain ditempat itu.

Dan Soyinka mencatatkan, yang saya fikir secara berseloroh: “Menurut pemerhatian saya beberapa tahun selepas itu, tak ada gempa di bawah tanah, tak ada ketegangan dan apa-apa kemudaratan dalam kandungan udara walau sedikit pun ditempat di mana dua simbol agama itu berdiri.”

 

Tulisan ini disiar akhbar Suara Keadilan, edisi 52.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=26402

Posted by on Feb 10 2012. Filed under RENCANA. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry