TPM: Kerajaan giat banteras rasuah

Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail menegaskan bahawa kerajaan kini giat membanteras gejala rasuah dalam masyarakat.

Beliau berkata rasuah bagai barah yang merosakkan tubuh badan jika tidak dibendung atau disekat.

“Usaha yang sangat gigih sedang dijalankan untuk membanteras rasuah yang pada masa lalu telah berakar umbi dalam berbagai-bagai lapisan masyarakat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran buku Hikayat Raja Pasai di Institut Antarabangsa Pemikiran Islam dan Tamadun (ISTAC), Kuala Lumpur, hari ini.

Sementara itu, katanya semua pihak boleh memanfaatkan pembelajaran sejarah menerusi naskhah klasik Hikayat Raja Pasai.

Hikayat itu menekankan akhlak ‘sang penguasa’ sebagai penentu kesejahteraan bagi sesebuah kerajaan dan juga Islam yang sangat mementingkan akhlak pemimpin.

“Dalam naratif Hikayat Raja Pasai, pengarang cuba menunjukkan bahawa akibat kezaliman dan keserakahan tingkah laku seorang rajanya, Pasai telah ditakluki oleh tentera Majapahit,” katanya.

Selain itu, katanya kerajaan Samudera-Pasai menjadi makmur kerana sifat kemajmukan masyarakatnya sebagai kota pelabuhan yang dikunjungi pelbagai bangsa yang berdagang.

Katanya, ciri kemajmukan itu juga sama seperti ciri Malaysia.

Dr Wan Azizah berkata Perlembagaan Persekutuan Malaysia telah menyatakan Islam adalah agama Persekutuan, namun perlembagaan juga mensyaratkan supaya keharmonian pemeluk agama berlainan dijaga.

“Perlembagaan negara sama sekali menolak sikap melampau atau yang menampilkan extremisme daripada mana-mana golongan dalam hal ehwal beragama,” katanya memetik Bernama.

Hikayat Raja Pasai merupakan salah satu karya ulung dan menjadi warisan turun temurun Melayu yang disunting oleh Profesor Emeritus Datuk Dr Ahmat Adam.

Kajian awal mengenai naskhah ini telah dibuat oleh beberapa pihak seperti J.P Mead (1914), Dr A.H. Hill (1960), Teuku Ibrahim Alfiah (1973) dan Russel Jones (1987).

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74317

Posted by on Nov 19 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE