TPM: Perkasakan sektor pembuatan

Peranan sektor pembuatan perlu diperkasakan bagi menghadapi dasar perlindungan serta landskap perdagangan yang tidak menentu, kata Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurutnya, kerajaan percaya masih ada banyak ruang bagi sektor itu berkembang walaupun mencatat banyak pencapaian setakat ini, termasuklah sumbangannya kepada sekitar 22 peratus.

“Kita perlu berganjak daripada ekosistem pembuatan masa kini yang banyak bergantung kepada buruh dan modal.

“Oleh itu, kita menggesa para pengilang untuk beralih kepada industri berintensifkan pengetahuan, kemahiran dan teknologi tinggi serta nilai tambah tinggi yang turut membabitkan sektor pertumbuhan baharu,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam Persekutuan Pengilang-Pengilang Malaysia kali ke-51, malam tadi.

Dr Wan Azizah berkata, ini juga seiring dengan objektif Industri 4.0 yang akan menyokong pencapaian matlamat Kemakmuran Bersama.

Menurutnya, pelaburan dalam sektor pembuatan sewajarnya menyasarkan untuk menjadikan Malaysia beralih daripada sebuah negara pengguna kepada negara pengeluar.

“Sebagai majikan, pemilik perniagaan perkilangan boleh mencapai hasil secara bersama menerusi kemahiran semula dan peningkatan kemahiran pekerja mereka melalui tawaran ganjaran yang dapat memberi motivasi dan meningkatkan inovasi pekerja,” katanya.

Dr Wan Azizah berkata, usaha sedang dilakukan bagi meningkatkan kemahiran lulusan universiti dengan 38 kursus digugurkan daripada universiti awam kerana dilihat tidak relevan dengan keadaan semasa atau dapat memenuhi keperluan industri.

“Saya meminta pihak berkepentingan untuk membantu kerajaan dengan terus memberikan komitmen bagi tujuan pelaburan dan menjadikan pertumbuhan ekonomi lebih inklusif.

“Selain itu, saya juga berharap anda semua dapat menyediakan platform bagi kalangan siswazah muda kita bekerja dan mencatat kemajuan bersama perniagaan anda,” katanya memetik Bernama.

Short URL: http://www.keadilandaily.com/?p=74088

Posted by on Oct 2 2019. Filed under BERITA UTAMA, NASIONAL. You can follow any responses to this entry through the RSS 2.0. You can leave a response or trackback to this entry

Search Archive

Search by Date
Search by Category
Search with Google
Optimization WordPress Plugins & Solutions by W3 EDGE